Tiga pulau di Melaka bakal diwarta Taman Laut Negara

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

TELOK MAS 2 Okt. – Tiga buah pulau di Melaka dicadang untuk diwartakan sebagai Taman Laut Negara yang terbaharu di negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, tiga pulau itu ialah Pulau Undan, Pulau Dodol dan Pulau Nangka.

Katanya, ia sekali gus bakal menjadi taman laut pertama diwartakan di Melaka dan berdiri setanding 42 buah taman laut lain yang ada di seluruh negara.

Jelasnya, proses pewartaan itu bagaimanapun hanya melibatkan radius 1 batu nautika (dari pantai ke laut) di setiap pulau dan tidak merangkumi kawasan daratan.

“Pemilihan tiga pulau ini adalah berikutan kawasan ini mempunyai ekosistem terumbu karang yang baik, termasuk daripada spesies karang yang terdedah kepada kepupusan.

“Insya-Allah apabila ia diwartakan ia bakal memberi limpahan ekonomi khususnya kepada nelayan dan sektor pelancongan memandangkan zon scuba diving dan snorkeling bakal diperkenalkan di kawasan itu.

“Yang paling penting, melalui pewartaan taman laut ini ia dapat menjadi habitat perlindungan dan pembiakan ikan, sekali gus menjaga kelestarian ekosistem sektor perikanan di negeri ini,” katanya.

AHMAD (tengah) bersama Haslina (kiri) dan Kamel (kanan) menunjukkan restorasi terumbu karang yang akan diletakkan di sekitar Pulau Undan.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Pulau Undan, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Haslina Abdul Hamid, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ts. Kamel Mohamad.

Exco Pertanian Negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Wira Ghazale Muhamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau Datuk Roslan Ahmad.

Lawatan itu turut disertai, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia Ahmad Tarmidzi Ramly, Pengarah Perikanan Negeri Melaka Mohd Fauzi Salehon dan kenamaan-kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, sejurus ketiga-tiga pulau itu diwartakan sebagai taman laut, segala aktiviti perikanan seperti memasang pukat dan memancing adalah tidak dibenarkan sama sekali.

AHMAD (kiri) turut melepaskan spesies ikan Clownfish di Pulau Undan.

Ia dilakukan bagi melindungi kawasan terumbu karang sedia ada dan juga terumbu karang baharu yang akan ditambah menerusi peruntukan RM110,000 yang telah disalurkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Melaka untuk tahun ini.

Peruntukan itu juga, jelasnya, bakal digunakan untuk menjalankan kerja-kerja pemantauan habitat, rehabilitasi, pembersihan dasar laut serta program meminimumkan ancaman hidupan marin di ketiga-tiga buah pulau tersebut.

“Kita kini hanya di peringkat akhir menunggu kelulusan kerajaan negeri dan apabila selesai, ia akan dibawa ke peringkat kementerian untuk diwartakan sebagai taman laut.

“Alhamdulillah, dalam lawatan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri dan Exco hari ini, mereka menyambut baik cadangan tersebut,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2389
Kongsi :
Previous post Perlu lebih ramai orang muda pelbagai kaum sertai KRT
Next post RT Cares pusat kumpul, edar kotak makanan
Ubah saiz-+=