Pengurusan dua anak syarikat kerajaan Melaka kurang memuaskan

Masa Membaca:2 Minit, 58 Saat

MELAKA 9 Dis (Bernama) – Pengurusan dua anak syarikat kerajaan Negeri Melaka iaitu Syarikat Pengurusan Rumah Pangsa Negeri Melaka Sdn Bhd (PANGSAMAS) di bawah Tabung Amanah Melaka dan Kumpulan Melaka Berhad di bawah Perbadanan Ketua Menteri Melaka bagi 2018, adalah kurang memuaskan, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Menurut laporan itu, hasil audit merumuskan secara keseluruhannya, amalan tadbir urus korporat PANGSAMAS adalah kurang memuaskan dan terdapat keperluan untuk penambahbaikan dalam aspek peranan dan tanggungjawab Pengerusi, Lembaga Pengarah, Rancangan Perniagaan dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), prosedur operasi standard (SOP), serta Audit Dalaman.

“Pengurusan aktiviti utama penyenggaraan meter air telah dilaksanakan berdasarkan kontrak yang ditetapkan. Selain itu, sumbangan pendapatan daripada aktiviti ini kepada pendapatan keseluruhan syarikat telah meningkat pada 2017, namun pelaksanaan aktiviti dari aspek prestasi kewangan, pengurusan lesen, dan pemantauan penyenggaraan meter air, tidak dilaksanakan dengan cekap bagi tempoh tiga tahun yang dinilai (2016-2018).

“Kedudukan kewangan PANGSAMAS adalah kurang stabil dengan faktor penyumbang adalah kerugian sebelum cukai bagi tempoh tiga tahun berturut-turut berjumlah RM305,863 pada 2016, RM129,012 (2017) dan RM156,439 (2018), selain kesetaraan tunai merosot sejumlah RM320,600 atau 24 peratus pada 2018 berbanding 2017,” menurut laporan itu.

Justeru, laporan mengesyorkan agar tadbir urus korporat syarikat ditambah baik dengan memperincikan tugas dan tanggungjawab Pengerusi, memperkasa fungsi lembaga pengarah, menyedia dan melaksanakan Rancangan Perniagaan, KPI serta SOP syarikat dan memperkemas polisi kewangan syarikat.

Selain itu, mengkaji semula hala tuju pelaburan dalam syarikat subsidiari, kerana kesan ketidakupayaan syarikat subsidiari turut menjejaskan aliran tunai syarikat PANGSAMAS, serta mengkaji dan menyemak semula aktiviti utama syarikat dengan menetapkan rancangan perniagaan yang lebih berdaya saing dan tidak tertumpu kepada kontrak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sahaja.

Sementara itu, bagi Kumpulan Melaka Berhad pula, secara keseluruhan amalan tadbir urus korporat KMB adalah memuaskan, namun terdapat keperluan untuk penambahbaikan dalam aspek Pengerusi, Lembaga Pengarah, Setiausaha Syarikat dan Jawatankuasa Audit.

Walaupun pengurusan aktiviti bagi aktiviti Solar Farm adalah kurang memuaskan kerana tidak dapat menampung perbelanjaan pada 2017 dan 2017 masing-masing berjumlah RM0.34 juta dan RM0.35 juta, namun pencapaian hasil adalah memuaskan, kerana peratus pendapatan daripada aktiviti berkenaan menyumbang kepada pendapatan keseluruhan KMB meningkat setiap tahun.

Dalam masa yang sama, pengurusan Solar Farm adalah kurang cekap, kerana pendapatan sebenar Solar Farm bagi 2016 hingga 2018 tidak mencapai sasaran pendapatan yang ditetapkan, selain kurang pemantauan terutamanya dalam melaporkan aktiviti Solar Farm secara berkala, dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.

“Secara keseluruhan kedudukan kewangan KMB berada pada tahap stabil. Pada 2017, syarikat merekodkan penurunan pendapatan utama sejumlah RM10.37 juta (40 peratus) berbanding 2016 dan menurun lagi sejumlah RM4.74 juta (30.4 peratus) pada 2018.

“Tunai dan kesetaraan tunai mencatatkan defisit sejumlah RM5.16 juta pada 2018 berbanding RM4.18 juta pada 2017, yang mencatatkan peningkatan defisit sejumlah RM0.98 juta (23.4 peratus) selain pengurusan hasil juga kurang memuaskan, kerana KMB mengalami kerugian dan kehilangan hasil berjumlah RM3.76 juta dalam satu projek pembangunan hartanah dan dua projek usaha sama serta satu perjanjian sewaan,” menurut laporan itu.

Justeru, laporan mengesyorkan agar KMB menambah baik amalan tadbir urus korporatnya, dengan memastikan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah tidak mempengerusikan jawatankuasa-jawatankuasa lain di KMB, menyediakan Piagam Lembaga Pengarah, memastikan Jawatankuasa Audit menyediakan terma rujukan (TOR)  dan diluluskan Ahli Lembaga Pengarah.

“Selain itu, memastikan SOP secara khusus bagi penyenggaraan Solar Farm disediakan dan diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah untuk diguna pakai, memastikan penyenggaraan Solar Farm dijadikan agenda tetap dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Ahli Lembaga Pengarah, memastikan semua syarat perjanjian sewaan dan usaha sama yang ditandatangani dipatuhi sepenuhnya, di samping klausa perjanjian dapat yang menjaga kepentingan KMB,” menurut laporan itu.

— BERNAMA

 

Views:

734
Kongsi :
Previous post Ban runtuh di DUN Ayer Limau akan dibaiki segera
Next post Mahkamah Agung AS tolak permohonan Republikan sekat kemenangan Biden
Ubah saiz-+=