Ban runtuh di DUN Ayer Limau akan dibaiki segera

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 9 Dis. – Masalah tiga buah ban yang runtuh dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau mendapat perhatian sewajarnya daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali.

Sulaiman (BN-Lendu) berkata, masalah runtuhan tersebut menelan belanja kira-kira RM3.5 juta, yang mana ia sudah dibawa ke perhatian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk dibaik pulih dengan kadar segera.

“Perkara ini sudah dimajukan kepada pihak JPS dan mereka sudah ambil maklum masalah berkenaan. Maka tiga ban tersebut akan segera dibaik pulih. Peruntukan bagi baik pulih ban serta menjaga keseluruhan sungai itu sudah disediakan dan dijangka akan dapat kita baiki.

“Bagaimanapun, runtuhan ban tersebut bukanlah disebabkan oleh kerja-kerja pengorekan pasir memandangkan kedudukannya yang jauh dan pihak kita masih mengkaji mengapa berlakunya runtuhan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan daripada  Datuk Wira Amiruddin Yusof (BN-Ayer Limau) dan soalan tambahan daripada Adly Zahari (AMANAH-Bukit Katil) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-14, sebentar tadi.

Dalam pada itu, mengulas mengenai royalti bayaran pasir yang diterima Kerajaan Negeri Melaka, Sulaiman berkata, bayaran keseluruhan yang diterima berjumlah RM446,250 melibatkan kawasan Ramuan China Kecil dan Kuala Linggi.

Jelasnya, bagi membantu nelayan-nelayan yang terjejas daripada kerja pengorekan pasir tersebut, pihak kerajaan negeri turut memberi pampasan secara ‘one off’ berjumlah RM800.

“Pampasan itu melibatkan seramai 83 nelayan iaitu merangkumi 60 nelayan sungai dan 23 nelayan laut. Ia telah diberikan pada 26 Oktober lalu.

“Pada masa sama, bagi menjaga ekosistem di kawasan berkenaan, kita juga melalui Jabatan Perikanan turut aktif melakukan pelepasan benih ikan dan udang di kawasan berkenaan,” ujarnya.

Views:

418
Kongsi :
Previous post Malaysia perlu ada keupayaan bangunkan vaksin sendiri
Next post Pengurusan dua anak syarikat kerajaan Melaka kurang memuaskan
Ubah saiz-+=