Pengurusan jenazah percuma buat warga Duyong

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

DUYONG 24 Januari – Khidmat pengurusan jenazah secara percuma disediakan khusus buat warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, kata Ahli Dewan Undangan Negerinya, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Menurutnya, perlaksanaan fardu kifayah ini berjaya dilaksana selepas kesemua empat masjid di dalam DUN Duyong menyatakan persetujuan untuk bersama-sama melakukan tanpa mengenakan bayaran seperti sebelum ini.

“Sebelum ini difahamkan hanya tiga masjid yang bersetuju tetapi kini kesemua empat masjid sudah menyatakan persetujuan untuk melaksanakan pengurusan jenazah secara percuma bagi ahli kariah Duyong.

“Kesemua masjid yang terbabit adalah Masjid Al-Abrar, Semabok; Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah, Kampung Duyong; Masjid Al-Wahhab, Pematang Duyong dan Masjid Fathur Rahman, Pengkalan Rama. Untuk pelaksanaan ini ia akan bermula pada 1 Mac depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Penjurian Pertandingan Laman Indah, di Kampung Ladang, Semabok, semalam.

Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, inisiatif itu dibuat ke arah pengurusan masjid sempurna dengan perbelanjaan bijaksana serta menjaga kebajikan penduduk DUN Duyong.

“Kebajikan rakyat sudah semestinya menjadi keutamaan kami jadi pelbagai inisiatif kita tampil dan laksanakan bagi memberi jaminan serta keselesaan buat penduduk supaya dapat menjalani kehidupan harian dengan tenang.

“Pelaksanaan ini juga dibuat kerana ada di antara penduduk yang tidak mampu dan berdepan kesukaran menguruskan jenazah apabila ada ahli keluarga yang meninggal kerana masalah kewangan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2154
Kongsi :
Previous post Jom ke pasar raya setiap 24 hari bulan
Next post Hanya 1.6 juta kemas kini maklumat dalam PADU setakat semalam
Ubah saiz-+=