Peniaga digalak guna sistem ‘cashless’

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

MASJID TANAH 24 April – Usahawan kecil termasuk mereka yang berniaga di bazar Ramadan dan pasar tani digalak untuk beralih kepada sistem pembayaran tanpa tunai (cashless) menggunakan terminal pembayaran khusus, selari dengan arus kemodenan dan pembangunan digital masa kini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, peralihan itu bukan sahaja memberi kemudahan kepada pembeli tetapi pada masa sama turut memudahkan urusan peniaga memantau transaksi jualan harian mereka.

Katanya, memandangkan jumlah peniaga yang beralih menggunakan sistem itu masih lagi rendah di seluruh negara, pihaknya bersama agensi SME Corporation Malaysia (SME Corp) akan terus menggiatkan usaha dalam memberi kesedaran peniaga mengenai manfaat sistem berkenaan.

“Kita mahu mendidik usahawan dan peniaga bukan sahaja dalam norma baharu ini bagaimana untuk berniaga menggunakan sistem yang lebih mudah kepada mereka dan pembeli selain ia juga lebih selamat.

“Bukan saya kata tidak boleh menggunakan kaedah lama jual beli secara tunai, tetapi dengan adanya terminal transaksi itu, ia lebih memudahkan peniaga melihat transaksi keluar dan masuk sekali gus membantu perniagaan mereka jadi lebih teratur.

“Buat masa ini memang masih kurang peniaga beralih guna sistem itu. Tidak perlu pergi jauh, di Pasar Tani Masjid Tanah, daripada ramai-ramai peniaga, hanya seorang sahaja yang ada terminal untuk pembayaran tanpa tunai, manakala yang lain masih guna kaedah jual beli cara lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 208 warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara yang kurang bernasib baik, di Dewan Astana Shafiis, Kampung Ujong Padang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara Datuk Md Rawi Mahmud.

Dalam perkembangan lain, Mas Ermieyati meminta semua pengunjung bazar dan pasar Ramadan seluruh negara mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan Pemulihan bagi membantu para peniaga meneruskan kelangsungan perniagaan mereka.

Menurutnya, hal itu penting kerana jika pengunjung melanggar SOP, kesannya lebih dirasai peniaga sekiranya bazar dan pasar berkenaan ditutup oleh pihak berkuasa.

“Kita minta sangat agar orang ramai patuh kepada SOP dan arahan yang telah ditetapkan. Fikirlah nasib peniaga yang ingin mencari rezeki buat keluarga mereka kerana kebanyakan mereka sudah lama tidak dapat berniaga.

“Janganlah disebabkan tiada rasa tanggungjawab pengunjung, kesannya terpaksa ditanggung para peniaga,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

969
Kongsi :
Previous post Benua Melayu: Exploring another World View
Next post Tiada daerah yang hilang – Idris
Ubah saiz-+=