Tiada daerah yang hilang – Idris

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

SUNGAI UDANG 24 April – Kerajaan Melaka memandang serius pembinaan sebuah tugu yang bertulis ‘Daerah Yang Hilang’ dipercayai dinaikkan di kawasan Sungai Rambai seperti yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Seri Utama Idris Haron menegaskan sehingga kini tiada daerah yang hilang di Melaka dan negeri ini masih kekal mempunyai tiga daerah utama iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

IDRIS menyampaikan sumbangan Ramadan kepada warga DUN Sungai Udang yang kurang bernasib baik di Japerun Sungai Udang, hari ini.

Beliau bagaimanapun memahami maksud yang tersirat daripada pembinaan tugu tersebut yang dipercayai merujuk kepada daerah kecil Sungai Rambai yang sehingga kini pejabat kerajaannya masih belum beroperasi.

Beliau menjelaskan, status daerah kecil Sungai Rambai masih lagi sah dan telah diwartakan, namun pihaknya masih memerlukan masa untuk mengembalikan fungsi daerah kecil tersebut terutama dari segi operasi pejabat selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memimpin selama 22 bulan sebelum ini cuba menolak penubuhan daerah kecil itu.

“Apabila PH memerintah selama 22 bulan, mereka telah mencadangkan agar daerah kecil ini dimansuhkan. Bagaimanapun apabila kita mengambil alih semula pentadbiran di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, kita telah menghidupkan kembali daerah kecil yang cuba dimansuhkan itu.

“Tapi, apabila dihidupkan kembali, sudah tentulah ia akan mengambil masa. Apa yang boleh saya katakan, daerah ini akan difungsikan seperti dahulu yang mana pejabat jabatan dan agensi kerajaan akan diadakan semula.

“Kini kita dalam proses meletakkan pegawai dan pekerja-pekerja di pejabat yang ada di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang bertempat di Japerun Sungai Udang, hari ini.

Mengulas lanjut, Idris menyifatkan tugu ‘Daerah Yang Hilang’ itu dinaikkan tidak kena pada masanya memandangkan ia sepatutnya dinaikkan ketika era pemerintahan PH yang bertindak menafikan hak daerah kecil Sungai Rambai.

“Pada saya ia bukan ditujukan kepada kerajaan masa kini kerana kita telah berjaya memperjuangkan kembali daerah kecil Sungai Rambai. Malah, mereka sepatutnya berterima kasih dengan kerajaan sekarang.

“Saya tak tahu siapa yang menaikkan tugu itu tetapi saya boleh katakan kalau ia bertujuan untuk menyindir memang salah masa dan tempat,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1588
Kongsi :
Previous post Peniaga digalak guna sistem ‘cashless’
Next post Ayob Khan pamer skil ‘padu’ tebar roti canai
Ubah saiz-+=