Ayob Khan pamer skil ‘padu’ tebar roti canai

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

JOHOR BAHRU 24 April – Jika sebelum ini umum mengetahui Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay tidak asing lagi dengan ketegasan membanteras jenayah, namun beliau menonjolkan sisi berlainan apabila mempamerkan kemahiran menebar roti canai pada program Singgah Sahur Kelab Media Johor (KMJ), di sini, awal pagi tadi, menurut laporan portal Berita Harian.

Malah, satu rakaman video pendek berdurasi 64 saat memaparkan ‘aksi’ beliau menyediakan juadah kegemaran segenap lapisan rakyat Malaysia itu tanpa kekok, sambil bergurau mesra dengan pengamal media pada program santai berkenaan.

Pada program itu, beliau menyambut kehadiran rombongan KMJ diketuai Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, yang turut diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang.

Ayob Khan berkata, penganjuran seumpama itu secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim antara kerajaan negeri, agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan industri media.

“Kerjasama sebegini dapat memantapkan lagi sebarang penyaluran maklumat, termasuk aktiviti yang berkaitan.

“Sumbangan media dari segi laporan berita yang dikongsikan berhubung kejayaan polis Johor, amat besar ertinya.

“Dalam kalangan kontinjen selain Bukit Aman, Johor ialah antara yang paling tinggi dari segi perkongsian media meliputi laporan kejayaan besar dicapai polis negeri ini.

“Ia adalah sumbangan media dalam membantu menaikkan imej PDRM di Johor,” katanya kepada pemberita selepas program itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1205
Kongsi :
Previous post Tiada daerah yang hilang – Idris
Next post Cipta mesin lemang RM36,000 kerana tak menang tangan
Ubah saiz-+=