Peniaga diminta henti manipulasi Menu Rahmah – KPDN

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 3 Februari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Negeri (KPDN) Melaka meminta peniaga di negeri ini untuk berhenti memanipulasikan maksud Program Menu Rahmah bagi mempromosi jualan mereka.

Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata terdapat segelintir peniaga yang menyalahgunakan terma Menu Rahmah yang dikesan dan menyebabkan usaha murni kerajaan menyediakan makanan seimbang bertukar sebaliknya.

Bagaimanapun, jelas Norena, pihaknya mengambil pendekatan mendidik dan menasihati peniaga-peniaga berkenaan supaya mereka tahu apa maksud Menu Rahmah yang bukan hanya berharga RM5 sahaja.

“Sebagai contoh, ada segelintir peniaga menjual makanan ringan, minuman manis pada harga RM5 demi mengaut keuntungan semata dan menggunakan terma Menu Rahmah.

“Definisi sebenar Menu Rahmah adalah makanan tengah hari atau makan malam yang seimbang seperti nasi, satu pilihan protein sama ada ayam atau ikan dan sayuran dengan tawaran harga bernilai RM 5.

photo_2023-01-16_16-15-42
Pengarah KPDN Melaka Norena Jaafar. Foto MR Azli

“Hidangan Menu Rahmah ini mestilah seimbang seiring dengan hasrat Menteri KPDN Datuk Seri Salahuddin Ayub yang dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat dapat dicapai,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Norena berkata, beliau turut mengucapkan tahniah kepada peniaga yang mempunyai inisiatif mengurangkan harga jualan untuk menyahut seruan kerajaan.

“Dalam pada itu, ada juga peniaga yang menurunkan harga jualan, kalau sebelum ini produk jualan mereka bernilai RM 8.90 dan diturunkan harga sehingga RM5, tahniah dan terima kasih.

“Hal ini, bagi mencapai apa yang diinginkan kerajaan, peniaga perlu sama-sama membantu dan perlu saling membantu dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4861
Kongsi :
Previous post Cuaca diramal hujan semasa sambutan Thaipusam Ahad ini – MetMalaysia
Next post Segera siapkan jalan utama ke SJKC Pay Chee
Ubah saiz-+=