Peniaga rugi RM5,000 ditipu dalam pembelian kereta mewah atas talian

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 17 Feb – Hasrat seorang peniaga untuk membeli kereta Honda Civic dengan harga RM10,000 tidak kesampaian selepas menjadi mangsa penipuan dalam pembelian atas talian kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 48 tahun itu berminat untuk membeli kereta berkenaan hasil rampasan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang diiklankan menerusi laman Facebook.

Katanya, mangsa yang mahu membeli kereta berkenaan kemudian diarahkan suspek yang mendakwa dirinya anggota polis daripada JSJK Bukit Aman untuk membuat pembayaran deposit sebanyak RM5,000 sebagai tempahan.

“Mangsa kemudiannya memindahkan wang berkenaan sebagaimana diarahkan ke dalam akaun diberikan suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata mangsa bagaimanapun menyedari dirinya ditipu selepas rakannya memaklumkan iklan berkenaan adalah iklan lama.

“Bagi memastikan kebenaran perkara itu, mangsa memeriksa semula iklan berkenaan namun posting itu telah dipadamkan.

“Sehingga kini, mangsa belum menerima kereta sebagaimana dijanjikan suspek sebelum membuat laporan di Balai Polis Batu Berendam untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Dalam pada itu, Sundra Rajah berkata, dalam tempoh Januari hingga semalam, pihaknya menerima lima laporan kes membabitkan kes penipuan bagi pembelian kereta mewah secara atas talian.

Jelasnya, semua kes berkenaan membabitkan kerugian hampir RM35,000.

Views:

455
Kongsi :
Previous post Awas! individu menyamar YDP MPHTJ, pinjam wang
Next post Pengusaha katering lega, kenduri kahwin dibenarkan
Ubah saiz-+=