Awas! individu menyamar YDP MPHTJ, pinjam wang

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 17 Feb. – Seorang individu tidak dikenali telah menyamar sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman menerusi aplikasi Whatsapp bagi tujuan untuk meminjam wang.

Individu berkenaan dikatakan telah menggunakan nombor telefon 010-7767161 dengan gambar profil WhatsApp milik Shadan dan menghubungi kenalan rapatnya untuk meminjam wang berjumlah RM4,900 kononnya untuk membeli perabot bagi Seolah Tahfiz Maahad Taqwa.

Shadan yang dihubungi Melaka Hari Ini memaklumkan, perkara itu disedarinya 8 pagi tadi apabila dihubungi kenalannya bagi mendapatkan pengesahan.

“Seorang kenalan saya menerima panggilan telefon menerusi Whatsapp yang memaparkan gambar saya bagi tujuan meminjam wang. Saya ingin menafikan bahawa nombor telefon berkenaan milik saya.

“Selepas itu, saya menerima lagi panggilan telefon dan WhatsApp daripada beberapa rakan lain yang turut dihubungi dengan cara yang sama dan mahu mendapatkan pengesahan saya.

“Saya percaya ada individu tidak dikenali telah menggunakan gambar profil saya untuk tujuan penipuan atau scammer,” katanya.

Sehubungan itu, beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Kandang pada jam 1 petang tadi bagi tujuan keselamatan data peribadinya daripada disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.

Untuk rekod, ia merupakan kejadian kedua berlaku hari ini selepas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) turut menjadi mangsa penyamaran individu tidak bertanggungjawab.

Views:

1241
Kongsi :
Previous post Positif dadah: Suami warden penjara pula ditahan
Next post Peniaga rugi RM5,000 ditipu dalam pembelian kereta mewah atas talian
Ubah saiz-+=