Positif dadah: Suami warden penjara pula ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDA HILIR 16 Feb. – Polis menahan suami kepada warden wanita Sekolah Henry Gurney (SHG), Telok Mas di sini hari ini selepas didapati positif dadah jenis syabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, penahanan itu susulan tangkapan isterinya berusia 40 tahun Isnin lalu yang turut didapati positif dadah jenis Amphetamine (AMP) dan syabu.

“Suami wanita berkenaan berusia 42 tahun ditahan di Balai Polis Tengkera kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi sebelum diarahkan menjalani ujian saringan air kencing susulan tangkapan isterinya malam kelmarin.

“Keputusan ujian air kencing mendapati, lelaki berkenaan positif dadah jenis syabu dan permohonan reman akan dibuat esok di Mahkamah Melaka,” katanya ketika ditemui di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Balai Polis Melaka Tengah di sini hari ini.

Mengulas lanjut Zulkiflee berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan yang tidak bekerja mengaku terbabit dalam penyalahgunaan dadah sejak 17 tahun lalu.

“Suspek yang turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah juga dipercayai mempengaruhi isterinya mengambil dadah sejak lima tahun lalu.

“Setakat ini pihak polis masih menyiasat pembabitan individu lain termasuk memburu pembekal dadah kepada pasangan berkenaan yang mempunyai tujuh anak berusia antara 13 tahun hingga empat bulan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Susulan tangkapan lelaki berkenaan, Zulkiflee berkata polis turut membebaskan dengan jaminan polis warden wanita berkenaan yang sepatutnya direman tiga hari sehingga esok.

“Suspek dibebaskan dengan jaminan polis pada pukul 5 petang tadi atas sifat kemanusiaan polis kerana dia mempunyai anak-anak yang masih kecil termasuk bayi berusia empat bulan untuk dijaga.

“Walaubagaimanapun, kita akan meneruskan prosedur mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Semalam, media melaporkan warden wanita terbabit berusia 40 tahun itu dicekup kira-kira pukul 7.15 malam Isnin lalu oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Tangkapan dibuat hasil maklumat daripada penyelia sekolah berkenaan mengenai kesalahan dilakukan suspek yang telah bertugas sebagai warden di SHG Telok Mas sejak 14 tahun lalu.

Views:

1542
Kongsi :
Previous post ‘Kita belum menang’, rakyat Melaka mohon bersabar dua minggu lagi.
Next post Awas! individu menyamar YDP MPHTJ, pinjam wang
Ubah saiz-+=