Peniaga tak mengaku salah bakar tiga buah kereta

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 24 Sept – Seorang peniaga barangan lusuh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan melakukan khianat api dengan membakar tiga kereta pada 12 September lalu.

Tertuduh, Ang Ban Yong, 37 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat melakukan perbuatan membakar menggunakan minyak petrol dengan mengetahui perbuatan itu berkemungkinan akan menyebabkan kerosakan kepada tiga kereta milik Kuan Zheng Hao, Leo Teng Yap dan Goh Swee Kian.

Kesalahan itu dilakukan bersebelahan padang di Jalan Jasa Merdeka 18, Taman Datuk Tamby Chik Karim, Melaka pada jam 10.55 malam 12 September lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari mencadangkan jaminan RM15,000 bagi melepaskan tertuduh sementara menunggu perbicaraan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Loong Meng Si bagaimanapun merayu agar jaminan dikurangkan kepada RM7,500.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Januari 2022 untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini (MHI) melaporkan dua individu ditahan kerana bertindak ‘gila’ dengan membakar tiga kereta jenis Bentley, Ford Fiesta dan Hyundai Accent untuk membayar hutang ‘ah long’ berjumlah RM500,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

712
Kongsi :
Previous post Lebih 81.8 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi
Next post HSN2021 Melaka sasar 25,000 penyertaan
Ubah saiz-+=