Peningkatan kluster pendidikan: Kerajaan tunggu laporan jawatankuasa protem – PM

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KOTA BHARU, 22 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebarang keputusan mengenai sesi persekolahan akan dibuat selepas laporan diperoleh daripada jawatankuasa protem mengenai peningkatan kluster COVID-19 di sekolah.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) telah diminta untuk membentangkan laporan mengenai peningkatan kluster COVID-19 kepada jawatankuasa protem yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Kalau kita terus tutup sekolah ibu bapa juga bimbang dari segi masa depan anak-anak mereka kerana pembelajaran melalui dalam talian (PdPR) juga tidak diterima (diakses) sepenuhnya oleh rakyat.

“Beberapa perubahan telah dilakukan oleh KPM, isunya kes meningkat begitu tinggi dan mendadak. Saya telah minta supaya KPM membentangkan kepada jawatankuasa protem, dari segi membuat keputusan kita tunggu jawatankuasa protem berbincang dan mendengar laporan KPM itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Khas Perdana Menteri Bersama Ahli Biro Politik UMNO Negeri di Bangunan UMNO Kelantan, di sini hari ini.

Untuk rekod, sekitar 70 peratus atau 62 kluster daripada 89 kluster baharu yang dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tempoh 15 Jan hingga semalam, melibatkan institusi pendidikan.

Rekod kluster pendidikan tertinggi dilaporkan pada 19 Jan iaitu 16 kluster daripada 20 kluster baharu yang dikesan. Semalam (21 Jan), 11 daripada 12 kluster yang dilaporkan oleh KKM adalah kluster pendidikan, iaitu masing-masing dua di Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pahang, sementara satu di Johor.

Sebelas kluster pendidikan turut dilaporkan pada 18 Jan dan 11 kluster pada 20 Jan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

525
Kongsi :
Previous post Gempa magnitud 6.1 landa Indonesia Tengah, tiada amaran tsunami dikeluarkan
Next post Sah, Zainal digugurkan Melaka United
Ubah saiz-+=