Penjual lemang pukul pelanggan ditahan bantu siasatan

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 23 April – Seorang lelaki dipercayai memukul seorang pelanggan lelaki warga emas yang tidak berpuas hati susulan lemang dijual tidak masak Jumaat malam lalu ditahan semalam bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pesara tentera berusia 61 tahun mendakwa dirinya membeli lemang daripada lelaki berusia 40 tahun di sebuah gerai menjual lemang di Jalan Bukit Beruang Utama.

Katanya, lemang dibeli bagaimanapun tidak masak dan pesara tentera itu datang semula ke gerai terbabit untuk menukar lemang berkenaan pada jam 8 malam, Jumaat lalu.

“Bagaimanapun, berlaku sedikit salah faham yang mengakibatkan suspek marah pengadu sebelum memukulnya dengan buluh lemang yang dipotong ke arah pengadu.

“Akibat kejadian itu, pengadu cedera di bahagian telinga kiri dan tangan kanan akibat terkena serpihan buluh lemang yang dipotong sebelum dia mendapatkan rawatan di Hospital Melaka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu polis menahan lelaki terbabit di tepi Jalan Kota pada jam 12.15 pagi Syawal.

“Siasatan lanjut mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes terbabit dan punca kejadian kerana suspek berang dengan tindakan pengadu yang mengatakan suspek menjual lemang tidak masak selain merekod video perbualan dan mahu menularkan video terbabit serta membaling bekas mengandungi lemang kepada suspek.

“Tindakan itu telah mendatangkan kemarahan kepada suspek sebelum bertindak memukul pengadu dengan buluh lemang yang dipotong,” katanya.

Christopher berkata, selepas siasatan dijalankan dan rakaman percakapan diambil, polis membebaskan suspek dengan jaminan polis.

Katanya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, video berdurasi 29 saat memaparkan pergaduhan antara lelaki yang menjual lemang tersebut dan pesara itu tular di media sosial pada Jumaat lalu.

Menerusi rakaman terbabit, warga emas terbabit melempar potongan lemang sebelum lelaki terbabit berang dan memukul mangsa sehingga cedera.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1470
Kongsi :
Previous post Rumah terbuka perpaduan Exco negeri pertama meriah
Next post Rumah terbuka Aidilfitri untuk perpaduan kaum
Ubah saiz-+=