Penurunan harga di Kedai Pernama seluruh negara mulai hari ini – Hishammuddin

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KOTA KINABALU, 3 Nov – Kementerian Pertahanan melalui Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) menurunkan harga produk jualan di semua 93 rangkaian kedainya di seluruh negara bermula serta-merta hari ini bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian warga pertahanan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata menerusi inisiatif berkenaan, penurunan harga yang ditawarkan adalah hingga 48 peratus bagi makanan dan barangan keperluan asas harian manakala hingga 90 peratus bagi keperluan persekolahan anak-anak warga pertahanan.

“Inisiatif penurunan harga di kedai PERNAMA akan dilaksanakan sebagai Jualan Akhir Tahun hingga 31 Dis 2022.

“Saya juga telah mengingatkan PERNAMA supaya memastikan barangan yang diturunkan harga ini mempunyai stok mencukupi supaya penjimatan ini benar-benar dapat dinikmati oleh warga pertahanan. Kementerian akan memantau perkara ini dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas melawat PERNAMA di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sepanggar di sini hari ini.

PERNAMA adalah sebuah perbadanan milik penuh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang ditubuhkan pada 1983 bagi mengendalikan rangkaian kedai runcit di kem-kem Angkatan Tentera Malaysia di seluruh negara untuk menjual barangan pengguna kepada anggota angkatan tentera dan keluarga mereka.

Hishammuddin berkata antara barangan mengalami penurunan harga adalah susu formula bayi yang dijual pada harga RM21.49 iaitu kira-kira RM8.78 lebih murah berbanding harga purata pasaran semasa, tuala wanita RM3.09 (kira-kira RM1.71 lebih murah) dan sardin dalam tin RM6.99 (kira-kira RM1.64 lebih murah).

“Ia sebahagian daripada kira-kira 200 produk jualan di kedai PERNAMA yang diturunkan harga. Dengan pembelian produk-produk ini, warga pertahanan boleh menikmati penjimatan lebih besar terutama apabila mereka membeli produk-produk ini dalam satu troli pembelian,” katanya.

Menurut Hishammuddin, beliau telah memberi masa selama sebulan kepada PERNAMA sejak bulan lepas bagi memperincikan pendekatan agar harga produk di kedai PERNAMA boleh diturunkan lagi.

“Saya juga mengingatkan PERNAMA bahawa tujuan utama mereka berurus niaga dengan warga pertahanan adalah untuk membela kebajikan, bukannya mengaut keuntungan semata-mata. Hari ini inisiatif ini telah dilaksanakan dan saya mewakili kementerian berterima kasih kepada PERNAMA,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2575
Kongsi :
Previous post PRU15: Angkat suara anak muda Masjid Tanah
Next post Malaysia alami musim tengkujuh minggu depan – MetMalaysia
Ubah saiz-+=