Malaysia alami musim tengkujuh minggu depan – MetMalaysia

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Malaysia akan mengalami Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh lebih awal daripada yang dijangka iaitu pada Isnin ini (7 Nov) dan berterusan sehingga Mac depan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sepanjang tempoh itu, empat hingga enam episod luruan monsun yang membawa hujan lebat berterusan berpotensi berlaku.

“Seperti musim-musim yang lalu, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.

“Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar, risiko kejadian banjir boleh meningkat,” menurut kenyataan itu.

MetMalaysia turut menjangkakan kejadian air pasang besar berlaku bermula pada 6 hingga 11 Nov dan 22 hingga 27 Nov, disusuli 7 hingga 12 Dis dan 22 hingga 26 Dis, serta 6 hingga 10 Jan 2023 dan 21 hingga 25 Jan 2023.

Semasa MTL itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora serta ombak besar di perairan Laut China Selatan.

Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui medium sebaran rasmi iaitu laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan semua media sosial MetMalaysia.

Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1983
Kongsi :
Previous post Penurunan harga di Kedai Pernama seluruh negara mulai hari ini – Hishammuddin
Next post WEYC 2022 kutip 110 tan sisa kitar semula dari 65 sekolah
Ubah saiz-+=