WEYC 2022 kutip 110 tan sisa kitar semula dari 65 sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BANDA HILIR 3 November – Sebanyak 110 tan sisa kitar semula berjaya dikumpul dengan penglibatan 58,756 pelajar dari 60 buah sekolah menengah di selatan Semenanjung Malaysia dalam tempoh empat bulan bermula Jun hingga September tahun ini.

Pengerusi Persatuan Pengurusan Sisa Malaysia (WMAM), Ho De Leong berkata jumlah terbabit dapat dikutip menerusi penganjuran program WMAM Eco Youth Challenge (WEYC) 2022.

Katanya, daripada jumlah itu juga sebanyak 63 tan adalah sisa kertas campur yang merekodkan kutipan tertinggi diikuti sisa besi sebanyak 14 tan dan sisa plastik sebanyak 7.9 tan.

“Program WEYC 2022 ini dilancarkan pada Mei lalu dengan anjuran WMAM bersama Yayasan Coca-Cola Malaysia bersama SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) memfokuskan kepada pemerkasaan pendidikan dan kesedaran berkaitan amalan kitar semula.

“Pada tahun ini kita mendapat penyertaan dari 65 buah sekolah bagi lima kategori yang dipertandingkan iaitu Pertandingan Mengumpul Barangan Kitar Semula, Pertandingan Ukiran Bahan Daripada Barangan Kitar Semula, Pertandingan Video Pendek, Pertandingan Mendeklamasi Sajak dan Pertandingan Menulis Esei.

“Kesemua 65 sekolah yang menyertai ini adalah dari selatan semenanjung Malaysia iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah WEYC 2022 di sebuah hotel di sini hari ini.

ho
HO De Leong

Mengulas lanjut, De Leong berkata menerusi program itu para peserta bukan sahaja diuji daripada aspek kreativiti, malah dilatih untuk menganalisa data, bekerja secara berpasukan bagi menangani isu-isu semasa berkaitan pengurusan sisa dan amalan kitar semula.

“Program ini juga membudayakan amalan pengasingan di punca serta 3R khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4601
Kongsi :
Previous post Malaysia alami musim tengkujuh minggu depan – MetMalaysia
Next post Tukar tin buangan jadi ‘bunga’
Ubah saiz-+=