Penurunan ketara jenayah jalanan kemungkinan disebabkan PKP – Tengku Maimun

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

PUTRAJAYA, 14 Jan – Kes jenayah jalanan tahun lepas mencatatkan penurunan ketara sebanyak 57.5 peratus berikutan pelaksanaan pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Bercakap mengenai analisis trend kes, Tengku Maimun berkata kes jenayah jalanan terus menurun antara 2017 hingga 2021 tetapi tahun lepas kes yang direkodkan adalah yang terendah.

“Mungkin pelaksanaan pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan dan sekatan pergerakan penuh menyebabkan tiada siapa di luar untuk melakukan jenayah yang mungkin menjelaskan sebab penurunan kes,” kata beliau dalam ucapan Tahun Perundangan 2022:Akses kepada Keadilan dan Normal Baharu di sini hari ini.

Sementara itu, Tengku Maimun berkata badan kehakiman memandang berat penurunan ranking antarabangsa Malaysia dalam kes pemerdagangan manusia.

“Bagaimanapun,adalah difahamkan dalam sistem ‘adversarial’ seperti kita, mahkamah adalah sebagaimana dibentuk perlembagaan tidak dapat mengambil langkah aktif untuk membanteras pemerdagangan manusia.

“Malah apabila kes sedemikian dibawa ke mahkamah, hakim perlu membuat keputusan berdasarkan undang-undang, fakta dan bukti,” katanya.

Tengku Maimun berkata antara 2018 hingga 2021, bilangan kes pemerdagangan manusia kelihatan tidak banyak berbeza dari tahun ke tahun, sambil menambah kelihatan terdapat trend penurunan dalam pendaftaran kes.

Beliau berkata pandemik COVID-19 telah banyak mengurangkan pergerakan keluar masuk di negara ini dan adalah berkemungkinan penurunan bilangan kes daripada 402 kes dalam 2020 kepada 333 dalam 2021 berikutan pandemik itu.

Bagaimanapun, beliau berkata perangkaan menunjukkan terdapat sedikit penurunan antara 2018 hingga 2019 sebelum pandemik.

Tengku Maimun berkata Malaysia merekodkan penurunan kes komersial seperti kemuflisan dan insolvensi yang ketara sebanyak 53.6 peratus daripada 119,258 kepada 55,305 antara 2017 hingga 2021.

Beliau berkata kes komersial adalah penting sebagai satu petunjuk kepada ekonomi negara kerana pertikaian merupakan antara cara menilai perniagaan dan perdagangan yang aktif.

Menyentuh mengenai kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, Tengku Maimun berkata bilangan kes yang didaftarkan meningkat sebanyak 42 peratus antara 2020 dan 2021.

Beliau berkata kesalahan seksual terhadap kanak-kanak adalah masalah serius dan badan kehakiman sudah berdialog dengan badan eksekutif untuk mewujudkan lebih banyak mahkamah jenayah seksual untuk mendengar kes-kes sebegini.

“Ini akan meningkatkan bilangan jawatan diperuntukkan kepada badan kehakiman untuk ditempatkan di mahkamah ini. Kami berharap langkah ini akan dapat mengurangkan perangkaan itu,” katanya.

Sementara itu, Tengku Maimun berkata bilangan kes rasuah yang didaftarkan antara 2017 hingga 2021 tidak konsisten dengan ada tahun-tahun yang mencatat lebih banyak kes dari tahun-tahun lain.

“Bagaimanapun, bilangan kes yang didaftarkan dalam 2020 dan 2021 menunjukkan sedikit kenaikan. Memandangkan rasuah merupakan musibah kepada masyarakat, adalah penting perkara ini dipantau dengan rapi kerana ia merupakan satu penilaian kepada kesihatan dan imej negara, di dalam negara dan antarabangsa,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

730
Kongsi :
Previous post Keadaan banjir di Johor semakin pulih
Next post Semakan Daftar Pemilih Tambahan dibuka enam bulan hingga 13 Julai
Ubah saiz-+=