Penyalahgunaan ‘batu’ babit pelajar sekolah di Melaka membimbangkan – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BANDA HILIR 7 Jun – Penyalahgunaan dadah jenis syabu atau ‘methampethamine’ merupakan angka tertinggi direkodkan dalam kalangan pelajar sekolah menengah di negeri ini.

EXCO Antidadah Negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, berdasarkan ujian saringan kencing secara rawak dari 79 buah sekolah menengah di sepanjang empat tahun lalu dari 2017 hingga 2020 melaporkan 75 pelajar positif syabu dari 92 jumlah keseluruhan dilaporkan positif dadah.

Beliau berkata, ia diikuti 18 dilaporkan terbabit dalam penyalahgunaan ganja manakala dua kes membabitkan dadah jenis opiat telah dilaporkan membabitkan pelajar berusia 13 hingga 17 tahun di negeri ini.

Menurutnya, perkara terbabit perlu dipandang serius oleh semua pihak bagi mengenal pasti bagaimana punca pelajar terjebak dengan najis berkenaan sehinggakan mampu mendapatkan bekalan itu dengan lebih mudah.

“Dalam tempoh empat tahun ini biarpun ada tahun meningkat dan ada tahun berlaku namun kita melihat ini bukan perkara biasa, jadi penguatkuasaan perlu dijalankan sebaiknya bagi membendung perkara ini.

“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini kerana ia amat merisaukan, daripada data ini kita kena kenal pasti bagaimana mereka ini boleh mengakses dadah dengan mudah.

“Seperti penyalahgunaan syabu ini merupakan perkara yang sangat merisaukan kerana ia merupakan dadah sintetik yang sangat merbahaya kerana akan terdedah kepada masalah psikotropik dan faktor kesihatan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sayangi Hidup Derita Selamanya (SHIELDS) peringkat negeri di Muzium Penjara Malaysia Melaka, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau menegaskan semua pihak termasuk pihak sekolah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) serta semua organisasi terlibat perlu berganding bahu bersama kerajaan negeri bagi membasmi isu tersebut.

“Kita mahukan kerjasama semua pihak unutk kuatkuasakan penguatkuasaan di seluruh Melaka kerana dadah ini masih nombor satu musuh negara.

“Ini perkara serius dan kita akan bekerjasama lagi bersama mereka yang terlibat untuk laksanakan penguatkuasaan besar-besaran di sekolah-sekolah termasuklah ujian saringan air kencing yang akan dijalankan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1836
Kongsi :
Previous post Pemandu Myvi direman empat hari
Next post Polis tahan tiga lelaki, rampas 145 ketulan ganja
Ubah saiz-+=