Penyelidik UTeM bangunkan Sistem Pengasingan Sisa Pepejal Domestik Pintar

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

AYER KEROH 19 Mei – Sekumpulan penyelidik yang terdiri daripada pensyarah dan penuntut dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyerlahkan kepakaran mereka dalam bidang penyelidikan dan inovasi dengan membangunkan Sistem Pengasingan Pepejal Domestik Pintar.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM terus menzahirkan peranannya sebagai institusi kecemerlangan ilmu dan penyemarakan budaya perkongsian kepakaran dalam aspek penyelidikan dan inovasi.

Jelasnya, melalui sistem atau alat pengasingan sisa pepejal domestik pintar itu, ia dapat mengesan dan mengasingkan beberapa jenis sisa pepejal seperti plastik, kertas, botol, logam dan bahan-bahan lain yang dinamakan sebagai Intelligent Trash Sorting System (i-BIN).

“Kejayaan penciptaan ini tentunya akan akan menjadi rujukan dan panduan kepada pihak berkaitan kerana ianya memberikan impak kebaikan dan kesenangan untuk komuniti sejagat,” katanya dalam satu kenyataan.

DR Anuar Mohamed Kassim bergambar bersama Alat Pengasingan Sisa Pepejal Domestik Pintar yang telah dibangunkan.

Sistem itu dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Pensyarah Kanan dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Ir. Ts. Dr. Anuar Mohamed Kassim bersama dua penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dengan kepujian dari Fakulti Kejurteraan Elektrik (FKE) iaitu Muhammad As Shakirin Abdul Aziz dan Nur Al Aswad Zulkefli.

Mengulas mengenai produk inovasi itu, Dr Anuar berkata, sistem i-BIN berfungsi untuk mengasingkan secara terus bahan sisa pepejal kepada tong sampah yang telah ditetapkan bagi bahan tersebut.

Katanya, sistem i-BIN menggabungkan semua konsep teknologi penderia terkini yang dibangunkan sendiri yang dapat mengesan jenis setiap sisa pepejal tersebut secara efektif dan tepat.

“Sistem ini digabungkan dengan sistem kecerdasan buatan dan Internet of Things (IoT) yang disambungkan kepada sistem Wi-Fi dan sistem pemantauan setelit yang dapat mengesan kedudukan tong sampah tersebut,” katanya lagi.

Mengulas lanjut Dr Anuar berkata, semua teknologi itu digabungkan dalam satu alat tambahan yang boleh dipasang pada tong sampah sedia ada bagi memudahkan proses transformasi dan integrasi sistem pintar ini bersama tong sisa pepejal sedia ada.

“Sehubungan rangkaian teknologi itu, sistem pesanan melalui aplikasi Telegram bersama platform digital dashboard akan dihantar kepada syarikat pengumpul sisa pepejal dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) secara terus.

“Ia bagi pemantauan secara real time berasaskan lokasi dan tahap kapasiti sisa pepejal terkumpul di setiap pusat pengumpulan sisa bagi pengutipan pintar dan terancang berasaskan kecerdasan pintar yang sangat berpotensi dalam menjayakan kelestarian alam sekitar, ekonomi dan daya huni Malaysia,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1247
Kongsi :
Previous post Habibah dilantik Pengerusi Jawatankuasa Khas Tangani Isu Gangguan Seksual, Buli di institusi pendidikan
Next post KKM kaji cadangan tidak pamer jenama produk rokok
Ubah saiz-+=