Penyusutan Empangan Bukit Merah: Pembenihan awan dalam seminggu lagi

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BAGAN SERAI, 3 Jun – Pembenihan awam di kawasan takungan di Empangan Bukit Merah di sini yang semakin surut, dijangka akan dilaksanakan dalam tempoh seminggu lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Razman Zakaria berkata Jabatan Meteorologi Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), akan melihat kesesuaian awan dan tiupan angin bagi melaksanakan pembenihan awan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata pihaknya yakin proses pembenihan awan akan dapat membantu menurunkan hujan di kawasan sawah dan kawasan tadahan di kawasan Pondok Tanjung dan Ijok.

Terdahulu beliau menghadiri majlis solat hajat dan solat istisqa di Dataran Pusat Informasi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Bukit Merah di sini hari ini yang disetai kira-kira 200 penduduk sekitar.

Minggu lepas, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan berkata kerajaan negeri akan melakukan pembenihan awan, untuk mengatasi masalah bekalan air di Empangan Bukit Merah yang semakin surut.

Razman berkata Saarani telah mengarahkan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen) semalam supaya membuat satu kertas kerja untuk meminta peruntukan, supaya air dari Sungai Perak dapat dipam ke Empangan Bukit Merah menerusi projek terowong dan tidak bergantung kepada hujan.

Beliau berkata perancangan itu dibuat bagi memastikan bekalan air di Empangan Bukit Merah mencukupi untuk kegunaan pertanian dan domestik.

Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Kerian Ridhuan Osman berkata sawah padi seluas 12,400 hektar membabitkan 4,720 pesawah di Bagan Serai dan Selinsing akan terjejas sekiranya hujan tidak turun dalam tempoh seminggu.

“Umur padi di kawasan berkenaan antara 20 hingga 40 hari dan masih memerlukan air yang ditakung dalam tempoh seminggu dua lagi.

“Kita bimbang jika berterusan sawah kering dan tanah merekah akan menjejaskan tanaman padi kerana dalam tempoh seminggu ini sawah amat kritikal memerlukan air dan jika kemarau berterusan akan menjejaskan tanaman padi,” katanya.

Ridhuan berkata paras air di Empangan Bukit Merah sekarang ialah 20.4 kaki (6.21 meter) dan bekalan untuk sawah telah dihentikan sejak 27 Mei.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

978
Kongsi :
Previous post Lebih 8,000 unit rumah ditawarkan buat warga Melaka – KM
Next post SAMB akan tuntut ganti rugi
Ubah saiz-+=