SAMB akan tuntut ganti rugi

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

BATU BERENDAM 3 Jun – Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) akan membuat tuntutan ganti rugi susulan insiden paip pecah di sebuah kilang elektronik di Batu Berendam, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Abd Rashid Abd Rahman berkata, perkara itu berlaku dipercayai berpunca daripada kecuaian kontraktor terlibat yang menjalankan kerja-kerja pembinaan di kawasan itu.

Beliau berkata, paip berukuran 600 milimeter ditanam sedalam tiga meter yang berada dalam kawasan rezab berkenaan pecah akibat kecuaian selepas tanah tersebut digali tanpa kebenaran.

“Penggalian itu dilakukan di luar kawasan tapak kilang malah kita juga tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada syarikat terbabit untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan mahupun ekskavasi di tanah rezab berkenaan.

“Sebenarnya, mereka boleh semak kepada konsultan melalui Bahagian Koridor Infrastruktur Dan Impak Sosial (BKI) jika ia membabitkan apa-apa yang berada di luar kawasannya atau apa yang ada di dalam kawasannya, tapi ini tidak berlaku.

“Sepatutnya kalau pembinaan di luar kawasan mereka perlu rujuk kepada BKI atau pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mereka tak boleh buat andaian saja.

“Saya difahamkan mereka ada rujuk kepada Invest Melaka Berhad tapi pihak itu hanya beri kebenaran untuk letak barangan pembinaan buat sementara saja dan tiada kelulusan untuk kerja-kerja ekskavasi di jalankan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Abd Rashid berkata, impak daripada insiden itu membuatkan SAMB terpaksa berdepan pelbagai kerugian termasuk dalam aspek kerugian air, kerja-kerja pembaikan malah terpaksa menggunakan tangki jumbo dari syarikat luar bagi membekalkan semula air kepada kawasan industri, hospital dan kediaman terlibat di sekitar kawasan berkenaan.

“SAMB sedang menunggu laporan lanjut berkaitan kerugian ini kerana insiden ini melibatkan paip yang begitu besar dan menyebabkan berlaku impak air deras dan kita tak boleh laksanakan pembaikan sekiranya paip ini tidak dimatikan dan dikeringkan, ini menjadi punca kepada kelewatan bagi menjalankan kerja pembaikan paip.

“Kelalaian yang berlaku menyebabkan seluruh kawasan industri, kediaman, kawasan komersial dan Hospital Melaka mengalami gangguan bekalan air namun di atas sistem integrasi perpaipan yang ada pada SAMB kita berjaya mengawalnya daripada berlaku implikasi besar dalam masalah ini,” katanya

Tambahnya, masalah gangguan bekalan air akan dipulihkan sebelum jam 8 malam ini dan akan diselesaikan secara berkala dari semasa ke semasa.

Semalam, insiden paip pecah yang berlaku itu telah mengakibatkan 79 lokasi di kawasan Melaka Tengah termasuk kediaman, kawasan industri dan pusat komersial berdepan gangguan bekalan air di luar jangka.

Bantuan lori tangki telah digerakkan SAMB bagi membantu kawasan terjejas.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2199
Kongsi :
Previous post Penyusutan Empangan Bukit Merah: Pembenihan awan dalam seminggu lagi
Next post Harga rumah di Melaka kekal terendah dalam negara
Ubah saiz-+=