
‘SAYA MAHU LIHAT ANAK KAMPUNG BERJAYA’
MACHAP JAYA 1 Jun – Mahu melihat anak kampung berjaya dalam pelajaran dan mengubah taraf hidup keluarga menjadi antara impian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem.
Bagi merealisasikan hasrat itu, beliau sentiasa mengambil berat aspek pendidikan termasuk menyediakan pelbagai inisiatif yang dapat membantu murid dan pelajar di kawasan itu.
Jelas beliau, antara inisiatif yang digerakkan adalah tuisyen percuma bagi membantu anak-anak, khususnya mereka yang bakal menduduki peperiksaan.
“Kita sudah memulakan tuisyen percuma ini pada 2023, namun ia terhenti seketika kerana gurunya sudah bertukar ke tempat lain.
“Namun, saya akan memulakan kembali inisiatif ini kerana impaknya cukup besar dalam membantu kemenjadian dan kecemerlangan anak-anak di kawasan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini dalam wawancara khas sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Machap Jaya.
Selain tuisyen percuma, Hee Sem yang merupakan graduan dari sebuah universiti di Amerika Syarikat berkata, aspek kebajikan murid dan pelajar turut diambil cakna menerusi penyampaian bantuan persekolahan.
“Ini termasuklah sumbangan pakaian sekolah dan alat tulis setiap kali pembukaan sesi persekolahan, selain kita juga turut membantu pelajar-pelajar yang susah untuk kembali bersekolah.
“Pada masa sama, bagi pelajar cemerlang juga saya bersama agensi seperti Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM) dan Japerun Machap Jaya turut menghulurkan sumbangan bagi meningkatkan lagi motivasi mereka untuk terus berjaya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Machap Jaya turut memperoleh sebuah sekolah rendah agama (SRA) baharu di Melaka Pindah, selain turut dibangunkan sebuah dewan terbuka bersebelahan sekolah tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

