PERANAKAN komited bantu generasi muda Cina, India kuasai Bahasa Melayu

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

PAYA RUMPUT 18 Oktober – Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia (PERANAKAN) komited mahu membantu pelajar sekolah berbangsa Cina dan India menguasai Bahasa Melayu.

Presidennya, Datuk Ronald Gan Yong Hoe berkata, pelbagai usaha akan dilaksanakan secara berterusan pada masa akan datang bagi memastikan Bahasa Melayu yang juga bahasa perantara di negara ini dapat dikuasai secara menyeluruh.

Katanya, selain menumpukan pelbagai penganjuran membabitkan penekanan budaya, bahasa dan bangsa, pihaknya akan memperluaskan penganjuran pelbagai pertandingan yang menyentuh elemen penguasaan Bahasa Kebangsaan dalam kalangan pelajar sekolah.

“Seperti penganjuran Festival Megah Bahasa Piala Presiden Peranakan Malaysia 2023 yang mendedahkan murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil dengan budaya dondang sayang, koir dan pertandingan bercerita dalam Bahasa Melayu dapat membuktikan penyertaan yang memberangsangkan ini mampu diperluaskan pada masa akan datang.

“Kita merancang untuk melebarkan sayap penganjuran seperti ini terutamanya kepada pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan sekolah-sekolah Mubaligh di negara ini untuk memastikan tahap penguasaan Bahasa Melayu mereka bertambah baik.

“Sekurang-kurangnya mereka sedikit demi sedikit mampu bertutur dalam Bahasa Melayu dalam kehidupan seharian mereka biarpun pertuturan itu tidaklah menjurus ke arah Bahasa Melayu yang ‘bombastik’ namun mereka sudah pasti akan faham dan mampu bertutur dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Festival Megah Bahasa Piala Presiden Peranakan Malaysia 2023 yang dirasmikan oleh Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah di SJKC Pay Fong 1, di sini,hari ini.

WhatsApp Image 2023-10-17 at 17.49.20
RONALD

Menurut Ronald, pendidikan dalam subjek Bahasa Melayu wajar dipupuk sejak dahulu lagi memandangkan semakin ramai anak muda dalam kalangan kaum Cina dan Tamil tidak lagi mampu bertutur dalam bahasa itu dengan lebih lancar.

“Seperti masyarakat Baba dan Nyonya yang telah lama wujud di negara ini tidak pernah menghadapi masalah terutama untuk berinteraksi dengan kawan-kawan yang berbangsa Melayu kerana kita mengamalkan Bahasa Kebangsaan ini sejak dari rumah lagi.

“Sudah 66 tahun kita merdeka tapi sampai sekarang masih ada lagi anak-anak kita tidak mampu menguasai Bahasa Melayu hinggakan mereka yang bersekolah di SJKC dan SJKT ini terpaksa mengambil Kelas Peralihan sebelum memasuki Sekolah Menengah sebab penguasaan bahasa itu belum berada pada tahap memuaskan, itu yang membuatkan saya kesal dan tidak patut berlaku pada masa sekarang.

“Jadi perkara ini perlu ubah dan saya berharap ibu bapa, para guru perlu memainkan peranan bagaimana untuk memastikan anak-anak bangsa ini dapat menguasai Bahasa Melayu dengan lebih baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

979
Kongsi :
Previous post Melaka, Uzbekistan perkukuh hubungan pelancongan
Next post 30 mahasiswa bakal dilantik Duta Perpaduan Melaka
Ubah saiz-+=