30 mahasiswa bakal dilantik Duta Perpaduan Melaka
PAYA RUMPUT 18 Oktober – Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Melaka akan menjadikan mahasiswa dari institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini sebagai Duta Perpaduan Melaka (DPM) dalam memajukan lagi agenda pembangunan negeri ini.
Pengarah JPNIN Melaka Intan Suhana Yusuff berkata, selepas Selangor dan Johor, Negeri Melaka turut mengambil inisiatif memperkenalkan duta perpaduan dalam menyebar luas agenda perpaduan, selain mendekati komuniti setempat.
“Pada peringkat permulaan, kita sasarkan seramai 30 DPM yang terdiri dalam kalangan mahsiswa berbilang bangsa. Mereka ini secara sukarela menawarkan diri untuk membantu serta menjadi ejen kepada JPNIN untuk memberi pendedahan lebih lanjut kepada masyarakat.
“Mereka yang terpilih perlu menghadiri bengkel disediakan dan di situ nanti kita akan memberikan mereka ‘soft skill’ dan kemahiran lain dalam mendekati masyarakat serta menyampaikan mesej sekaligus memupuk perpaduan serta pembinaan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Program Kenali Budaya Kita Peringkat Negeri Melaka Tahun 2023 yang disempurnakan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem, di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput, semalam.
Menurut Intan Suhana, DPM berkenaan akan diselia oleh enam pakar rujuk yang terdiri dalam kalangan ahli akademik profesional untuk memastikan hala tuju dan matlamat kewujudannya dapat direalisasikan.
“Sekarang kita sudah mempunyai 29 individu yang bersedia menggalas tanggungjawab sebagai DPM dan mereka akan diberikan pendedahan melalui bengkel secara berperingkat selain terdapat enam pakar rujuk yang bukan sahaja bertindak membangunkan modul tetapi menyampaikan inti padi modul.
“Golongan belia dipilih kerana mereka ini mudah dan senang untuk membantu kita menyampaikan pengaruh positif kepada masyarakat namun begitu pergerakan DPM akan dipantau agar ia selari dengan matlamat penubuhannya dalam agenda perpaduan,” katanya.
Tambahnya, penambahan bilangan DPM akan dibuat pihaknya selepas melihat keperluan dan keberhasilan 30 DPM pertama yang dilantik.
“Ini termasuklah melihat elemen perpaduan serta teladan yang baik, selain impaknya kepada komuniti,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.