Dua beradik seronok belajar pantun menerusi Dondang Sayang

Masa Membaca:2 Minit, 17 Saat

PAYA RUMPUT 18 Oktober – “Tak sangka sebab bukan senang nak belajar cara berpantun dalam Bahasa Melayu menerusi nyanyian dondang sayang.”

Itu kata, murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Melaka Kubu, K. Sukhaen, 11 bersama adiknya, K. Satheash yang dinobatkan sebagai naib johan kategori dondang sayang pada Festival Megah Bahasa Piala Presiden Peranakan Malaysia 2023 Peringkat Daerah Melaka Tengah.

Sukhaen berkata, tempoh latihan selama sebulan bersama gurunya ternyata berbaloi dan tidak menyangka mampu muncul sebagai antara peserta terbaik.

“Saya seronok sebab dapat belajar dan mengenali apa itu dondang sayang dan impian untuk menang itu akhirnya tercapai.

“Dondang sayang ini dilihat agak berbeza dengan lagu lain sebab kita mampu dilatih dengan apa itu pantun Melayu dengan lebih mendalam.

“Kita memang tidak menyangka mampu bergelar pemenang kerana banyak sekolah yang menyertai pertandingan ini sehinggakan rasa gemuruh itu membuatkan kami hampir menarik diri ketika bertanding tadi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Pada festival itu, SJKT Melaka Kubu muncul juara keseluruhan untuk menewaskan 33 buah sekolah lain selepas menyertai ketiga-tiga pertandingan yang dianjurkan iaitu dondang sayang, koir dan bercerita dalam Bahasa Melayu.

Sementara itu, guru pembimbingnya Mohd Afendi Omar berkata, penganjuran julung kali diadakan itu wajar dilaksanakan pada masa akan datang bagi memberi peluang pelajar SJKT dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mencungkil bakat mereka sejak di bangku sekolah.

“Pertandingan seperti ini kebiasaannya dianjurkan di Sekolah Kebangsaan jadi ia macam agak berat sebelah sedikit jadi apabila murid sekolah vernakular didedahkan dengan perkara seperti ini ia mampu mengasah bakat mereka selain mengekalkan warisan yang ada seperti adat berpantun dan berdondang sayang yang menjadi imej kebudayaan di Melaka,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SJKC Bachang, Siew Soh Yeang berharap pertandingan seperti ini diadakan lebih kerap dalam membantu murid kaum Cina dan India menguasai Bahasa Melayu.

“Ini merupakan langkah yang baik untuk kita memartabatkan Bahasa Melayu dan kalau boleh pada masa hadapan kita harap penganjuran pertandingan yang menjurus kepada budaya dan penggunaan bahasa ini diperluaskan ke seluruh SJKT dan SJKC.

“Malah, murid juga akan didedahkan dengan budaya yang ada dalam kaum peranakan Baba dan Nyonya dan ini akan memupuk budaya dan jati diri bangsa,” katanya selepas sekolahnya dinobat johan kategori dondang sayang.

WhatsApp Image 2023-10-17 at 20.28.41
PELAJAR SJKC Bachang muncul juara kategori dondang sayang.

Bagi Guru Bahasa Melayu SJKC Bachang, Chua Soo Wey berkata, kreativiti dalam pembelajaran perlu diterapkan dalam menarik minat murid atau pelajar berbangsa Cina dan Tamil.

“Penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan ini kalau mereka minat ia memang tidak sussah tapi kita kena gunakan pendekatan menarik seperti mengajar mereka menggunakan muzik ataupun tarian.

“Seperti pertandingan ini ia wajar dilaksanakan bagi merapatkan jurang Bahasa Melayu yang juga merupakan Bahasa Kebangsaan dikuasai dalam kalangan murid Cina dan India,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1489
Kongsi :
Previous post 30 mahasiswa bakal dilantik Duta Perpaduan Melaka
Next post 1,500 meriahkan Hari Sukan Jasin
Ubah saiz-+=