
23 TAHUN, MPAG MELAKAR PELBAGAI KEJAYAAN
ALOR GAJAH 1 Mei – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) menyambut ulang tahun naik taraf perbandaran yang ke-23 pada 1 Mei 2026. Ianya merupakan manifestasi kepada perjalanan transformasi dan kecemerlangan berterusan dalam memperkukuh tadbir urus serta pembangunan kawasan perbandaran Alor Gajah.
Sepanjang perjalanan ini, MPAG telah membuktikan keupayaan dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan dan tadbir urus melalui pencapaian pelbagai pengiktirafan di peringkat negeri, kebangsaan dan peringkat antarabangsa. Dengan mengekalkan status Alor Gajah sebagai Bandar Mampan melalui program MurniNets oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dari segi tadbir urus, penganugerahan pengiktirafan pematuhan Sistem Perakaunan Standard bagi Agensi Kerajaan (SAGA) oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia menjadikan MPAG sebagai jabatan dan PBT pertama dalam Negeri Melaka yang memenuhi kriteria SAGA.
Dalam agenda kelestarian yang diberikan penekanan dan dizahirkan melalui pelan-pelan pembangunan serta dasar Majlis, pengiktirafan ‘Diamond’ daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menerusi pelaksanaan Rakan Kongsi Zon Rendah Karbon Bandar Alor Gajah Zon 1 di samping pengiktirafan sebagai Rakan Kongsi Rendah Karbon bagi Hospital Alor Gajah dan Masjid Al-Aman, Kelemak, yang memperkukuh agenda hijau bandar secara menyeluruh.
Bagi aspek kesihatan persekitaran, MPAG telah mencipta kecemerlangan apabila meraih Sijil Pengiktirafan Anugerah PBT Cemerlang Penarafan Bintang Audit Teknikal (PBAT) Perkhidmatan Kesihatan Persekitaran 2025 bagi Penarafan 5 Bintang serta kejayaan gemilang apabila dianugerahkan Tempat Pertama PBT Cemerlang Kempen Cegah Wabak Denggi 2025 oleh KPKT.
MPAG terus mengukuhkan reputasi melalui Pengiktirafan Kecemerlangan Dalam Pengurusan Alam Sekitar Bandar sempena Waste Management Association of Malaysia (WMAM) 20th Anniversary Annual Conference 2025, serta Sapphire Award – Community and Neighbourhood Park (Public Park) My Place Award 2025: Excellence in Placemaking yang mengiktiraf usaha berterusan dan berimpak tinggi kepada komuniti.
Seiring dengan perkembangan teknologi digital, MPAG telah membangunkan MPAG Digital yang mengintegrasikan pelbagai sistem perkhidmatan atas talian seperti Sistem LIMAS, Vision Guard, Sistem eBangunan, Sistem eSyarikat, Sistem eVoting, Sistem Sewaan Online, Permohonan Penjawatan Online MPAG serta Sistem Aduan Awam Bersepadu.
Bagi menyokong inisiatif Kerajaan Negeri Melaka, MPAG komited dalam melaksanakan pelbagai program yang dianjurkan bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) seperti Program Masyarakat di Hati MPAG dan Program Bantuan ‘Back to School’.
Dalam aspek pengurusan aduan awam, MPAG secara aktif memberikan komitmen penyampaian perkhidmatan dan penyelesaian masalah yang dihadapi penduduk dan pemegang taruh. Platform-platform aduan dan maklumbalas melalui Program Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka (HEBAT) anjuran Kerajaan Negeri Melaka serta sumber-sumber aduan dan pandangan daripada kepimpinan negeri, tempatan dan masyarakat menjadi keutamaan MPAG bagi memastikan tindakan penyelesaian dilaksanakan secara lebih sistematik dan berkesan. Kesemua pencapaian ini bukti kukuh kepada iltizam MPAG menjadi Pihak Berkuasa Tempatan yang berintegriti, berprestasi tinggi dan berorientasikan kesejahteraan rakyat.

Ulang Tahun Majlis Perbandaran Alor Gajah Ke-23 dimulakan dengan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat yang berlangsung di Masjid Ar Rahman, Parit Melana, Durian Tunggal pada hari Khamis 30 April 2026. Sempena Hari Perbandaran pada tahun ini juga, MPAG menumpukan kepada perkhidmatan dan pelaksanaan kerja serta program yang seiring dengan hasrat dan matlamat Kerajaan Negeri untuk merasai denyut nadi rakyat demi kesejahteraan dan kebahagiaan semua.
MPAG sebagai Pihak Berkuasa Tempatan akan terus menambah baik serta memperkukuh tadbir urus, melonjakkan kecekapan perkhidmatan serta memastikan pembangunan bandar dilaksanakan secara mampan dan memberi impak positif kepada masyarakat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

