Sorting by

×

DEWAN TERBUKA DILENGKAPI GELANGGANG ‘PICKLEBALL’ SIAP HUJUNG JUN 2026

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 1 Mei – Sebuah dewan terbuka lengkap dengan kemudahan sukan di Taman Ara Permai sedang dibangunkan dan dijangka siap menjelang hujung Jun 2026.

Pembinaan dewan berkenaan dilaksanakan menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI (KAM) dengan Kampung Sungai Putat dipilih sebagai lokasi pelaksanaan projek yang melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata, pembinaan dewan terbuka bernilai RM380,500 itu merupakan antara komponen utama projek berkenaan yang turut merangkumi kerja naik taraf infrastruktur kampung.

“Skop kerja turut melibatkan pembaikan sistem longkang, turapan jalan, pembinaan pintu gerbang serta pemasangan lampu solar bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk.

“Pembinaan dewan ini bertujuan menyediakan ruang komuniti yang lebih kondusif selain menggalakkan aktiviti sosial dan riadah dalam kalangan penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan dan sesi taklimat tapak Projek Dewan Taman Ara Permai oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Turut hadir Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron dan Pengarah Pembangunan Negeri Melaka di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Mohd Shahrul Shari.

Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri berkata, dewan tersebut turut dilengkapi gelanggang ‘pickleball’ bagi memenuhi permintaan sukan yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat.

“Lebih istimewa, dewan ini akan turut menyediakan gelanggang pickleball dengan konsep ‘harga rakyat’ iaitu RM10 sejam supaya semua lapisan masyarakat mampu menggunakan kemudahan ini.

“Kadar ini jauh lebih rendah berbanding harga pasaran semasa memandangkan kebanyakan kemudahan pickleball di negeri ini diusahakan pihak swasta.

“Kapasiti dewan terbuka ini mampu menampung kira-kira 200 orang pada satu-satu masa dan sesuai digunakan untuk pelbagai program komuniti termasuk majlis keramaian,” katanya.

Menurutnya, konsep pembangunan dewan tersebut selari dengan pelaksanaan Taman MADANI di bawah MPHTJ yang memberi fokus kepada transformasi kawasan lapang menjadi ruang komuniti aktif.

“Seperti enam Taman MADANI yang telah siap, kita telah menaik taraf kawasan yang sebelum ini kurang dimanfaatkan dengan kemudahan seperti laluan pejalan kaki, taman permainan dan pentas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

351
Kongsi :
Previous post WRUR: MPHTJ PERKASA KESEJAHTERAAN, CAKNA KEBAJIKAN WARGA DUN AYER KEROH
Next post 23 TAHUN, MPAG MELAKAR PELBAGAI KEJAYAAN