Sorting by

×

2,688 DIDIAGNOSIS AUTISME DI MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 1 Mei – Dianggarkan seramai 2,688 individu telah didiagnosis dengan Autisme di Melaka dan daripada jumlah itu, ia membabitkan seramai 549 kanak-kanak berusia bawah enam tahun.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada lebih 53,000 kes autisme yang direkodkan di seluruh negara pada 2023, di mana ia meningkat sangat ketara berbanding hanya 6,991 kes pada 2013.

Angka itu, ujar beliau, mencerminkan keperluan mendesak terhadap usaha memperkukuh sistem sokongan yang lebih menyeluruh dan inklusif.

“Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri Melaka terus komited untuk memperkukuhkan jaringan sokongan melalui kerjasama dengan institusi kesihatan, badan bukan kerajaan serta komuniti.

“Usaha seperti intervensi awal, pendidikan inklusif dan sokongan kepada keluarga juga akan terus diperkasa, selain saya menyeru seluruh masyarakat agar memainkan peranan dalam membina persekitaran yang lebih inklusif, prihatin dan mesra autisme,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Sambutan Hari Autisme Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abdul Rahman.

Turut hadir, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Putra Specialist Hospital Melaka Mohd Zahiruddin Ahmad serta lain-lain kenamaan.

Menurut Kalsom, sambutan itu amat penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap autisme serta kepelbagaian keupayaan individu dalam spektrum autisme selain berperanan memperkukuh kefahaman awam mengenai kepentingan pengesanan awal, intervensi dan sokongan berterusan kepada individu autisme serta keluarga mereka.

Pada masa sama, ujar beliau, ia juga menggalakkan penglibatan bersepadu pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat ke arah mewujudkan persekitaran yang inklusif dan mesra autisme di Negeri Melaka.

“Saya ingin menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama erat antara Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn Bhd dan The National Autism Society of Malaysia (NASOM) Cawangan Melaka dalam memperkasa perkhidmatan kepada komuniti autisme.

“Melalui kerjasama ini, pelbagai perkhidmatan kepakaran dan khidmat rundingan dapat disediakan kepada kanak-kanak dalam spektrum autisme serta keluarga mereka, termasuk aspek penilaian, intervensi awal dan sokongan berterusan.

“Saya juga difahamkan bahawa Putra Specialist Hospital kini dalam usaha menyediakan prasarana yang lebih mesra autisme, selaras dengan keperluan sensori dan perkembangan kanak-kanak dalam spektrum ini. Usaha ini amat signifikan dalam memastikan persekitaran rawatan yang lebih selesa, inklusif dan menyokong perkembangan mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

310
Kongsi :
Previous post 23 TAHUN, MPAG MELAKAR PELBAGAI KEJAYAAN
Next post BERKAIN PELIKAT ‘GELECEK’ BOLA DI PANTAI KLEBANG