
BERKAIN PELIKAT ‘GELECEK’ BOLA DI PANTAI KLEBANG
KLEBANG 1 Mei – Mengenakan kain pelikat dan bertanjak sambil menggelecek bola mencuri tumpuan pada hari pertama Festival Muzik Air Melaka 2026 atau Melaka Water Music Festival 2026 di Pantai Klebang, di sini, hari ini.
Aktiviti ‘Swamp Soccer’ itu merupakan antara pengisian pada hari pertama festival tersebut yang telah bermula seawal jam 10 pagi tadi.
Kelainan itu menjadikan penganjuran di negeri Melaka unik dan berbeza apabila peserta tampil dengan busana tradisional lengkap ketika menyertai aktiviti sukan santai di tepi Pantai Klebang.
Selain swamp soccer, pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk permainan tradisional konda-kondi serta pertandingan ‘arm wrestling’ yang menarik perhatian ramai peserta dari seluruh negeri ini.

Terdahulu, acara itu turut dihadiri Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka, Nasrul Ahmad.
Festival Muzik Air Melaka 2026 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan seliaan BPP Melaka dijadual berlangsung 1 dan 2 Mei menampilkan konsep berteraskan budaya dan warisan dengan pelbagai pengisian aktiviti menarik.
Pada hari kedua esok, akan berlangsung aktiviti seperti pertandingan tarik tali, bola baling pantai, muay thai, ‘freestyle’ jetski dan macam-macam lagi.
Pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan hebat dari Yasser Atak, DJ Lyn, DJ Faro dan Rijeu Band.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

