Sorting by

×

ANAK FELDA BUKIT SENGGEH BINA EMPAYAR BAS PELANCONG

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

ASAHAN 1 Mei – Minat berniaga sejak usia remaja menjadi titik tolak kejayaan seorang anak Felda membina empayar pengangkutan dan pelancongan sehingga mampu membawa ratusan pelancong antarabangsa ke Melaka setiap tahun.

Kejayaan itu ditempa Goh Chee Siong, 55, anak jati Felda Bukit Senggeh yang kini mengurus lebih 150 bas ekspres pelancong selain memiliki empat buah hotel di bawah jenama 707.

Menurutnya, pasaran Singapura, China dan Indonesia menjadi antara penyumbang utama kehadiran pelancong ke Melaka, dengan Singapura mencatatkan jumlah tertinggi.

Antara laluan utama yang dikendalikan termasuk Melaka ke Singapura, Singapura ke Genting, Melaka ke Johor serta Melaka ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

“Kita aktif mempromosikan Melaka kepada pelancong luar, khususnya dari Singapura dan China. Mereka memang berminat untuk datang, jadi kita bantu bawa mereka ke sini melalui perkhidmatan bas yang disediakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, meskipun telah berjaya, dirinya tidak pernah melupakan asal-usul sebagai anak Felda Bukit Senggeh, Asahan.

Pada masa sama, beliau turut berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan yang banyak membantu melancarkan urusan perniagaan di kawasan berkenaan.

Komitmennya dalam mengekalkan standard tinggi operasi bukan sahaja menyumbang kepada perkembangan syarikat, malah membantu memperkukuhkan industri pengangkutan pelancongan di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

600
Kongsi :
Previous post SURI RUMAH UBAH DAUN GETAH JADI HADIAH
Next post RUMAH MAMPU MILIK RM250,000 KE BAWAH LARIS DI MAPEX MELAKA 2026