Sorting by

×

KUIH BAKAR JULANG NAMA ‘KAMPUNG KOBOI’

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

ASAHAN 1 Mei – Bermula daripada kegagalan dalam beberapa bidang perniagaan, anak jati Kampung Selandar kini berjaya mengangkat kuih bakar sebagai produk kebanggaan kampungnya.

Usahawan Hapizah Md Nor, 55, berkata, idea menghasilkan Kuih Bakar Selandar tercetus daripada keinginannya memperkenalkan nama kampung tersebut kepada masyarakat luar.

“Dahulu Kampung Selandar ini dikenali sebagai ‘kampung koboi’, tetapi sekarang semakin membangun. Jadi saya cuba perkenalkan kampung ini melalui produk kuih bakar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, dia bermula dengan menghasilkan kuih bakar secara kecil-kecilan sebelum mengembangkan perniagaan dengan pelbagai produk lain seperti rempeyek, kuih ros, maruku dan denderam.

“Segala resipi saya belajar sendiri secara berperingkat tanpa bergantung sepenuhnya kepada orang lain.

“Saya cuba dan baiki dari semasa ke semasa kemudian bagi orang rasa, kalau kurang gula kita tambah, dari situ kita tahu kelemahan produk kita,” katanya.

Hapizah berkata, kuih bakarnya kini mendapat sambutan meluas dan dibekalkan ke pelbagai premis sekitar Melaka termasuk restoran dan pusat jualan makanan.

“Alhamdulillah, kami sudah lebih 15 tahun membekalkan kuih bakar kepada beberapa premis. Tempahan juga pernah mencecah sehingga 2,000 keping untuk sesuatu program.

“Pernah juga produk ini ditolak banyak pihak, namun saya tidak pernah putus asa. Mulanya saya cuba promosi dengan bawa satu keping kuih bakar, minta orang rasa dan akhirnya berkembang jadi 10, 20 dan seterusnya,” katanya.

Tambahnya, keputusan beralih kepada perniagaan makanan dibuat selepas perniagaan jahitan yang diusahakan sebelum ini terjejas akibat masalah kewangan selepas tragedi tsunami pada 2004.

Kini, perniagaan tersebut turut melibatkan ahli keluarga dengan kapasiti pengeluaran mencecah ratusan keping sehari bagi memenuhi permintaan.

Hapizah yang juga ibu kepada dua anak berkata, dia berbangga dapat membawa nama Selandar melalui produk makanan tradisional.

“Saya anak Selandar, saya bangga menjadi anak Selandar. Harapan saya mahu bawa kuih bakar ini pergi lebih jauh, termasuk ke pasaran luar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

337
Kongsi :
Previous post WRUR AYER KEROH: ‘TAK PERLU LAGI TADAH BESEN SETIAP KALI HUJAN’
Next post SURI RUMAH UBAH DAUN GETAH JADI HADIAH