Percepat vaksinasi peniaga di Jasin

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

JASIN 29 Ogos – Kira-kira 50 peratus daripada 1,613 peniaga di Jasin yang belum menerima suntikan vaksin COVID-19 akan divaksin dalam masa terdekat.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Datin Sapiah Haron berkata, mereka terdiri daripada peniaga restoran hingga ke peringkat penjaja akan diutamakan bagi menerima suntikan itu segera menerusi kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin.

Jelasnya, sebahagian peniaga berlesan di bawah MPJ itu akan divaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Stadium Jasin yang dijadual bermula esok.

“MPJ bekerjasama dengan PKD Jasin untuk mengutamakan peniaga di daerah ini dan kesemuanya akan menerima vaksin di PPV Mega yang disasar mampu memberi suntikan kepada 3,000 penduduk dalam sehari.

“Dengan inisiatif ini kita tidak lagi menjalankan program vaksinasi lain seperti Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) dan sebagainya dan hanya menumpukan di PPV Mega.

“Setakat ini senarai semua peniaga bersama pembantu telah dihantar untuk disuntik dan kini sedang menunggu panggilan temu janji masing-masing menerusi aplikasi My Sejahtera,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata, pembukaan PPV Mega satu inisiatif terbaik bagi membantu penduduk menerima vaksin secara meluas di daerah itu.

Menurutnya, mengikut data diterima PKD Jasin seluruh penduduk daerah terbabit akan divaksinasi sepenuhnya tidak sampai sebulan.

“Setakat ini sekitar 50,000 penduduk telah mendaftarkan diri untuk menerima suntikan vaksin dan dijangka mampu diselesaikan dalam tempoh 22 hari sahaja,” ujarnya.

Sapiah berkata, bagi menjamin keselamatan pelanggan pihaknya menyarankan kesemua peniaga mengambil vaksin bagi mengekang penularan COVID-19.

Katanya, bagi tujuan itu juga MPJ turut menetapkan syarat wajib vaksin kepada peniaga yang ingin memperbaharui lesen perniagaan.

“Kita menetapkan bagi pembaharuan lesen perniagaan pada hujung tahun mereka (peniaga) perlu lengkap menerima vaksin.

“Dari situ kita dapat mengetahui bilangan peniaga yang belum divaksin, malah sekiranya tidak divaksin kita akan tahan lesen mereka daripada diperbaharui,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

474
Kongsi :
Previous post ANGKASA perkasa jihad basmi ‘orang tengah’
Next post Pengadil Malaysia dilantik mengadili aksi final Piala Dunia Bola Sepak Pantai
Ubah saiz-+=