Perigi lambang cinta raja

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

Oleh: Muhammad Rasul Azli Samad

BANDA HILIR 5 Januari – Perigi Raja atau Perigi Hang Li Poh yang masih kekal hingga ke hari ini, menjadi saksi kepada sejarah keagungan Kesultanan Melayu Melaka dan kerakusan penjajah.

Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan sumber air itu adalah lambang cinta abadi Sultan Mansur Syah (1458-1477) kepada isterinya Hang Li Po apabila baginda mengarahkan perigi berkenaan digali bagi kegunaan puteri jelita itu yang berasal dari China.

Terletak di Jalan Puteri Hang Li Po, Kampung Bukit Cina dalam daerah Melaka Tengah, air perigi ini digunakan untuk keperluan harian dan tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau panjang.

Menurut legenda, individu yang meneguk air perigi Hang Li Poh akan datang semula untuk melawat negeri ini.

Pada tahun 1511, pahlawan-pahlawan Johor telah mencurahkan racun ke dalam perigi menyebabkan ramai orang Portugis yang mati kerana terminum airnya.

Perkara sama dilakukan tentera Belanda pada tahun 1606 dan dikuti oleh orang Aceh antara tahun 1628-1629 dengan maksud yang sama untuk membunuh musuh-musuh mereka secara sulit.

Perigi Raja 9
TUGU pahlawan turut didirikan. Foto: MR. AZLI

Belanda mula sedar kepentingan perigi ini lalu mereka mendirikan tembok atau kota kecil di sekelilingnya, lengkap dengan meriam dan rumah pengawal bagi menjaga sumber air berkenaan.

Walaubagaimanapun semasa pemerintahan Inggeris, perigi ini tidak dipedulikan lagi malah bangunan di sekitarnya terbiar runtuh.

Peninggalan sejarah ini sekarang dijaga rapi, bersih dan kemas, landskapnya pula seperti dalam taman.

Selain itu tugu peringatan pahlawan-pahlawan Melaka untuk mangsa-mangsa Cina akibat menentang penjajahan Jepun turut dipamerkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5358
Kongsi :
Previous post Hamdan Senario gemar beri nasihat kepada keluarga, rakan-rakan
Next post ‘Otai’ pantun Kampung Durian Daun masih berbisa
Ubah saiz-+=