‘Otai’ pantun Kampung Durian Daun masih berbisa

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

“Assalamualaikum pembuka kata,

kepada tuan-tuan hadirin hadirat;

Tanda beradat duduk bersila,

kedatangan rombongan kami ini ada hajat.”

Itu antara gelagat otai pantun ketika menyambut kedatangan wartawan Melaka Hari ini, di kediamannya di Kampung Durian Daun, Duyong.

Abd Aziz Jantan, 73, yang juga Tok Sidang Kampung Durian Daun, berkata, dia mula aktif dalam adat berpantun sejak 1989.

“Selepas dilantik sebagai sidang saya mula aktif berpantun, ini adalah amalan harian saya lebih-lebih lagi apabila dipanggil ke majlis utama seperti merisik, pernikahan dan bertunang.

“Berpantun ini secara spontan, namun ia perlu ada maksud dan pembayang yang selari bagi memberikan gambaran jelas kepada orang yang mendengarnya.

“Berbalas pantun juga tidak mudah jika kita tiada kefahaman mengenai setiap apa yang dilontarkan. Alhamdulillah selama lebih 30 tahun menjadi Tok Sidang saya sudah mendapat jemputan ke merata negeri,” katanya.

Bapa kepada lima anak ini berkata, pantun yang menarik dan berkualiti memerlukan minat yang mendalam selain ada tekniknya yang tersendiri.

“Nak berpantun tentu ada caranya, mungkin keunikan itu membuatkan saya dijemput sampai ke negeri Kelantan, Terengganu, Johor, Kuala Lumpur, Muar, Perak, Kedah, Sabah dan Sarawak.

“Bukan sahaja dipanggil untuk berpantun bagi majlis pertunangan, pernikahan dan merisik di Melaka malah saya turut diundang bagi majlis sama yang diadakan di negeri lain seluruh Malaysia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3077
Kongsi :
Previous post Perigi lambang cinta raja
Next post Buaya berjemur tarikan Eco-Cruise Sungai Linggi
Ubah saiz-+=