
REHDA MELAKA KOMITED PASTIKAN SEKTOR HARTANAH TERUS MAMPAN
AYER KEROH 2 Mei – Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Melaka komited untuk memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam memastikan pembangunan sektor hartanah dan perumahan terus mampan.
Pengerusi REHDA Melaka Datuk Ngoh Chun How berkata, kerjasama erat antara sektor awam dan swasta penting bagi memastikan industri hartanah negeri terus berkembang selain mampu berdepan cabaran ekonomi semasa secara bersama.
Menurutnya, REHDA Melaka sentiasa bersedia memainkan peranan sebagai rakan strategik kerajaan dalam memastikan agenda pemilikan rumah rakyat dapat direalisasikan dengan lebih berkesan dan inklusif.
“Diperingkat negeri, REHDA Melaka telah mengemukakan beberapa cadangan bersasar kepada Kerajaan Negeri untuk pertimbangan bagi membantu industri mengharungi cabaran semasa serta memastikan kelangsungan pembangunan sektor perumahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) Melaka 2026 yang dirasmikan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin di Pasaraya Mydin MITC di sini, pada Jumaat.
Hadir sama Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin dan Pengerusi Penganjur MAPEX Melaka 2026 Datuk Sonny Tay Chor Han.
Chun How berkata, kejayaan penganjuran MAPEX Melaka 2026 turut membuktikan keyakinan berterusan terhadap pasaran hartanah di negeri ini khususnya bagi kediaman berkualiti dan mampu milik.
Katanya, sepanjang enam hari penganjuran bermula Selasa (28 April) hingga Ahad ini, ekspo tersebut berjaya menghimpunkan pelbagai tawaran hartanah, sekali gus menyediakan platform efektif kepada rakyat untuk memiliki kediaman sendiri.
“Kejayaan penganjuran MAPEX ini mencerminkan keyakinan berterusan terhadap pasaran hartanah di Melaka serta menunjukkan permintaan terhadap kediaman berkualiti dan mampu milik kekal kukuh,” katanya.
Menurutnya, sektor pembinaan dan pembangunan hartanah memberi kesan yang besar kepada banyak industri lain termasuk pembuatan, logistik, pembekalan bahan mentah dan perkhidmatan kewangan.
“Justeru sokongan dasar yang tepat pada masanya amat penting bagi memastikan kestabilan industri, pertumbuhan ekonomi serta peluang pekerjaan terus terpelihara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


