Sorting by

×

AYAM KAMPUNG SAGA: DARI HOBI JADI LUBUK REZEKI

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

GADEK 2 Mei – Bermula sekadar hobi seorang penternak wanita kini mampu menjana pendapatan sehingga mencecah RM7,000 sebulan hasil daripada perusahaan ayam kampung Saga yang diusahakan sejak 10 tahun lalu.

Pengusaha Ayam Kampung Saga Suhaiti Ariffin, 53, berkata, minat untuk menternak ayam timbul ketika berlaku kenaikan harga ayam suatu ketika dahulu sebelum dia bersama beberapa rakan lain mengambil keputusan memulakan ternakan secara kecil-kecilan.

Menurutnya, pada peringkat awal mereka hanya menternak kira-kira 500 ekor ayam sahaja namun angka itu kini mencecah sehingga 2,000 ekor ayam.

“Awalnya kami bela ayam untuk makan sendiri sahaja namun lama-kelamaan nampak potensi apabila permintaan terhadap ayam kampung semakin meningkat.

“Kami turut bernasib baik apabila ketika itu turut menerima tawaran dan bimbingan daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI),” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, dia menerima kunjungan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, baru-baru ini.

Pengusaha Agrofarm Sahabat Gadek Enterprise itu berkata, jika dahulu reban ayam dibina seakan pondok kecil namun kini diladangnya terdapat empat reban termasuk sebuah reban besar yang mampu memuatkan sehingga 2,000 ayam pada satu masa.

“Selain mengeluarkan ayam kampung proses segar dan hidup, kami turut mengeluarkan produk lain seperti anak ayam Kampung Saga, ayam sejuk beku, ayam salai, ayam perap serta telur segar.

“Pemilihan baka daripada Ayam Saga kerana bukan sahaja kerana pembesaran yang sekata dan cepat iaitu hanya mengambil tempoh tiga bulan tetapi mempunyai saiz yang agak besar dengan anggaran purata berat dua kilogram setiap ekor,” katanya.

Menurutnya, dalam meningkatkan kualiti pengeluaran dia turut memanfaatkan penggunaan teknologi baharu apabila menggunakan sistem automatik untuk bekalan air.

“Buat masa ini pasaran keluaran produk kami sekitar Zon Selatan selain Agrofarm Sahabat Gadek Enterprise juga merupakan antara lima Pusat Pengurusan Stesen (PS) MARDI yang aktif.

“Perusahaan ayam Kampung Saga ini mempunyai potensi besar untuk terus berkembang memandangkan permintaan pasaran yang semakin meningkat.

“Justeru itu, kami dalam perancangan untuk memperkenalkan ayam kampung Saga ini dengan lebih meluas supaya ia lebih dikenali dan mampu menembusi pasaran yang lebih besar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

392
Kongsi :
Previous post REHDA MELAKA KOMITED PASTIKAN SEKTOR HARTANAH TERUS MAMPAN