
MELAKA TAMPIL BERBEZA, ANGKAT ROH DAN JIWA WARISAN BUDAYA
KLEBANG 2 Mei – Melaka tampil berbeza apabola mengangkat ‘roh’ dan jiwa warisan budaya sebagai konsep penganjuran Melaka Water Music Festival 2026 yang berlangsung di Pantai Klebang, di sini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, festival itu juga tidak hanya menyajikan hiburan semata-mata, bahkan turut memperkasa sukan rakyat dan aktiviti komuniti sepanjang dua hari penganjurannya.
Menurut beliau, sepanjang festival itu berlangsung, sebanyak 15 pengisian menarik telah disusun, antaranya Pertandingan Bola Tampar, Dayung dan Tarik Perahu, Blue Water Kayak Fishing, Kejohanan Muay Thai, Arm Wrestling, Tug of War, Konda Kondi serta banyak lagi.
“Saya sempat melihat sendiri perkongsian di media sosial, ada peserta berkain pelikat bermain bola, ada juga yang lengkap bertanjak berentap dalam pertandingan ‘arm wrestling’.
“Semua ini menunjukkan satu hakikat yang jelas bahawa platform seperti inilah yang menjadi wadah untuk menyemai rasa cinta terhadap warisan, memperkukuh jati diri dan menanam rasa bangga sebagai anak Melaka dalam setiap generasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Melaka Water Music Festival 2026 di Pantai Klebang, di sini, malam tadi.
Teks ucapan beliau dibacakan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hassan serta lain-lain kenamaan.
Tambah Ketua Menteri, semangat yang dizahirkan daripada penganjuran festival itu menjadi asas kepada kejayaan mengangkat Melaka bukan sekadar negeri warisan, tetapi sebuah negeri yang dinamik dan kompetitif.
Buktinya, beliau berkata, tahun 2025, Melaka telah berjaya mencatatkan lebih 15 juta pelancong dengan sumbangan sektor pelancongan mencecah RM14 bilion kepada ekonomi negeri.
“Apa yang lebih penting, kita mahu setiap penganjuran seperti ini bukan sahaja menarik kehadiran pelancong, tetapi turut membuka peluang ekonomi kepada rakyat, daripada peniaga kecil, pengusaha pelancongan
hinggalah kepada komuniti setempat.
“Inilah roh Melaka Sayang Rakyat, di mana setiap pembangunan yang dirancang benar-benar memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat,” tambah beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

