
10,000 GEGAR PANTAI KLEBANG
KLEBANG 2 Mei – Dianggarkan lebih 10,000 pengunjung dalam dan luar negara membanjiri Pantai Klebang, di sini, bagi memeriahkan penganjuran Melaka Water Music Festival 2026 yang berlangsung selama dua hari.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sebagai satu daripada tujuh negeri menganjurkan festival seumpamanya, Melaka menampilkan keunikan tersendiri apabila mengetengahkan konsep tradisional dengan elemen warisan budaya kepada semua pengisian program yang dibawakan.
Jelas beliau, antara pengisian acara yang dibawakan sepanjang festival itu adalah permainan sukan rakyat seperti konda kondi dan tarik tali, selain turut diadakan sukan untuk anak muda seperti bola sepak, bola tampar, muay thai dan arm wrestling.
Tidak hanya itu, beliau memaklumkan acara untuk keluarga juga turut diadakan umpamanya bina istana pasir dan pelbagai lagi, di mana kesemua peserta dikehendaki memakai busana ala-ala tradisional.
“Saya juga difahamkan, penyertaan yang diterima amat memberangsangkan dengan 200 peserta Muay Thai, 150 peserta Arm Wrestling, 16 pasukan Beach Volleyball, 20 pasukan Tug of War serta 24 pasukan Konda Kondi Competition.
“Lebih menarik lagi, pelbagai hadiah lumayan disediakan kepada para pemenang dengan jumlah keseluruhan mencecah RM60,000.
“Menang atau kalah sememangnya sudah menjadi adat pertandingan, tetapi yang lebih besar daripada itu ialah nilai kebersamaan. Di sinilah kita melihat rakyat bersatu, saling menyokong, sekali gus berdiri sebagai satu komuniti dan keluarga besar Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Melaka Water Music Festival 2026 di Pantai Klebang, di sini, malam tadi.
Teks ucapan beliau dibacakan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hassan serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ketua Menteri turut berharap festival pelancongan seumpamanya terus diperluaskan sebagai acara tahunan ikonik yang dinanti-nantikan, bukan sahaja oleh rakyat tempatan malah pelancong dari seluruh dunia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


