Perkhidmatan feri penumpang dari Butterworth ke pulau diawalkan bermula esok

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

GEORGE TOWN, 9 Jan – Perkhidmatan feri penumpang iaitu untuk pejalan kaki akan diawalkan bagi perjalanan pertama dari Butterworth ke bahagian pulau negeri ini bermula esok berikutan pembukaan sesi persekolahan.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Tan Teik Cheng berkata feri akan bertolak setengah jam lebih awal iaitu pukul 6.30 pagi berbanding pukul 7 pagi.

“Jadual perkhidmatan feri penumpang pejalan kaki itu juga akan dipinda mengikut keperluan semasa dan juga permintaan orang awam bagi memastikan hanya perkhidmatan yang terbaik dapat diberikan kepada orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Tan berkata ruangan menunggu feri penumpang pejalan kaki di Terminal Swettenham Pier Cruise (SPCT) yang sebelum ini berada di tingkat atas telah dipindahkan ke tingkat bawah bangunan itu berikutan pembukaan semula aktiviti kapal persiaran domestik.

Katanya ketika ini juga kerja-kerja menaik taraf terminal feri di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) dan juga Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) sedang giat dilaksanakan.

Menurutnya kerajaan pusat juga telah bersetuju untuk memperuntukkan RM30 juta kepada Penang Port Sdn Bhd (PPSB) bagi tujuan pembelian feri-feri baru.

“Kami telah menyerahkan RM15 juta daripada jumlah RM30 juta tersebut iaitu kepada pihak PPSB pada 27 Dis lepas dan bakinya akan diserahkan pada tahun ini,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1263
Kongsi :
Previous post Tidak boleh bergantung kepada pengeluaran KWSP setiap kali bencana – Pakar
Next post Seorang anggota bomba cedera ringan, jentera tangki air terbalik
Ubah saiz-+=