
PERMULAAN TRANSFORMASI BAHARU DUYONG
DUYONG 12 Julai – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bakal menjadi titik mula ke arah transformasi pentadbiran baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berpandangan, WRUR merupakan satu platform yang amat baik bukan sahaja mendekatkan kerajaan dengan rakyat, bahkan membantu dalam mengubah corak pentadbiran dalaman.
Jelasnya, memandangkan program itu dapat menyelami permasalahan rakyat di hampir keseluruhan kawasan, beliau dan pasukan percaya ruang tersebut dapat digunakannya untuk belajar sesuatu dalam kaedah pengurusan dan santunan kepada rakyat.
“Kita tahu, sebelum ini Duyong sudah terkenal selepas empat tahun saya diberi mandat. Tapi saya merasakan dalam empat tahun ini, kebanyakan tindakan dan perkara yang dilakukan adalah sama dan keputusannya juga sama.
“Jadi, selepas WRUR ini, kami akan cuba membuat perubahan untuk merombak semula apa yang perlu dilakukan supaya kita bergerak lebih laju.
“Saya tidak mahu kita kekal di zon selesa sehingga mungkin ada yang leka dan terbuai-buai. Jadi, saya optimis WRUR akan menjadi tapak transformasi seterusnya untuk DUN Duyong,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.
Berbaki kira-kira setahun lagi bergelar wakil rakyat, Mohd Noor Helmy berjanji akan terus komited untuk melakukan yang terbaik dan menunaikan segala janji kepada rakyat Duyong sebelum ini.
“Saya akan terus berusaha kerana saya tidak mahu segala apa yang saya lakukan ini akan berakhir dengan sesalan,” tambahnya.
Untuk rekod, WRUR Duyong akan bermula esok hingga 26 Julai depan dengan menampilkan pelbagai pengisian yang memberi manfaat kepada rakyat di kawasan itu.
Sebanyak 166 program berkonsep turun padang telah disusun membabitkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan dan acara kemuncaknya akan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada 26 Julai nanti bertempat di Dewan Terbuka Semabok Dalam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.