
PERPUSTAM PERKASA BUDAYA MEMBACA MENERUSI WRUR
AYER LIMAU 11 September – Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) terus memperkasa budaya membaca dalam kalangan anak Melaka menerusi penganjuran pelbagai aktiviti sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau.
Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah berkata, penglibatan PERPUSTAM dalam program berkenaan memberi banyak manfaat kepada anak Melaka khususnya murid tadika dan sekolah rendah.
Katanya, pelbagai aktiviti yang dianjurkan bukan sahaja memberi pendedahan kepada murid dan pelajar mengenai kepentingan ilmu tetapi turut menyemai minat membaca sebagai satu amalan dalam kehidupan seharian.
“Sempena WRUR DUN Ayer Limau ini PERPUSTAM mengadakan berbelas aktiviti yang bukan sahaja melibatkan pelajar sekolah rendah tetapi juga tadika serta pra-sekolah.
“PERPUSTAM komited untuk turut serta dalam penganjuran WRUR kerana program ini secara tidak langsung memberi banyak manfaat kepada murid serta pelajar termasuk ibu bapa,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi PERPUSTAM berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Komuniti Jom Santai @ Perpustakaan Desa Lubok China yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, di Dewan Terbuka Taman Wira Indah, semalam.
Menurut Rosli, penganjuran program berkenaan amat bermakna dalam usaha membina masyarakat yang cintakan ilmu selain menjadikan amalan membaca sebagai budaya hidup.
“Pendekatan yang dilaksanakan PERPUSTAM menerusi aktiviti santai dan interaktif juga mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menarik serta dekat dengan golongan pelajar.
“Istimewanya program ini turut memberi tumpuan kepada murid-murid pendidikan khas yang sentiasa menunjukkan semangat juang tinggi dalam menimba ilmu.
“Justeru, kita mahu memastikan golongan ini turut diberikan ruang dan peluang untuk menikmati aktiviti berasaskan ilmu serta membina keyakinan diri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

