Persidangan DUN Melaka jadi contoh – KM

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

SERI NEGERI 7 Mac – Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas yang kini memasuki penggal ketiga terus menunjukkan kualiti dan sisi-sisi kematangan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu boleh dilihat menerusi sesi perbahasan yang baik sepanjang tiga hari bersidang yang mana ia boleh dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain.

Menurut beliau, tidak seperti tahun-tahun terdahulu, tiada lagi debat-debat luar biasa mewarnai persidangan sehingga ia menjadi perhatian di seluruh negara.

“Alhamdulillah, kali ini (persidangan) nampak bagus, tertib dan kematangan yang dapat dilihat dalam kita menyuarakan pandangan, pendapat dan perbahasan yang baik.

“Ini menunjukkan sesuatu yang positif tatkala kita sudah memasuki tahun ketiga bersidang dan terima kasih diucapkan kepada semua yang membawa suara rakyat untuk kegemilangan Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media hari terakhir Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ab Rauf dalam ucapan penangguhannya menyeru kepada semua wakil rakyat di Negeri Melaka agar bergerak seiring dalam mewajah semula Negeri Melaka ke tahap lebih baik.

Jelas Ketua Menteri, semua yang dipilih untuk berkhidmat oleh rakyat perlu membuktikan bahawa wajah-wajah merekalah yang bersama-sama membangun, mencorak dan melakarkan pembangunan Negeri Melaka agar limpahannya dapat dirasai rakyat.

“Saya tidak ada kepentingan peribadi dalam mengurus Negeri Melaka. Apa yang saya pentingkan ialah rakyat Melaka mendapat nikmat daripada kepimpinan yang diberi mandat untuk menguruskan negeri ini sehingga akhir penggal.

“Saya mohon Yang Berhormat (YB) sekelian menjadi jambatan serta mata dan telinga untuk mendengar denyut nadi rakyat agar kita dapat bersama mendirikan sebuah negeri baharu disebaliknya runtuhnya kota Melaka suatu masa dahulu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

508
Kongsi :
Previous post 120 kiosk bantu peniaga kecil jana pendapatan
Next post Pelancongan kesihatan: Melaka teroka pasaran Vietnam
Ubah saiz-+=