Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama DUN Melaka Ke-15 pada 27-30 Dis ini

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

SERI NEGERI 10 Dis – Kerajaan Negeri Melaka telah menetapkan Persidangan Pertama (Khas) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 akan diadakan selama empat hari mulai 27 hingga 30 Dis ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata persidangan DUN berkenaan akan bermula jam 9.30 pagi sehingga jam 1 tengah hari sahaja sepanjang tempoh tersebut.

“Ini sebagai mematuhi peraturan ditetapkan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) serta syarat-syarat yang dikenakan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Persidangan ini adalah Persidangan Pertama (Khas) yang telah dijadualkan setelah pembentukan kerajaan negeri yang baharu pada 20 November yang lepas.

“Antara agenda persidangan tersebut adalah pembentangan Bajet 2022 Negeri Melaka, pelantikan Yang Berhormat Speaker dan Yang Berhormat Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri serta Angkat Sumpah Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada 8 Dis lalu telah memutuskan Ahli MMKN diminta menyediakan Sasaran Kerangka Kerja (SKK) untuk portfolio masing-masing, sama seperti kakitangan awam yang perlu menyediakan Sasaran Kerja Tahunan (SKT).

“SKK itu perlu mengambil kira aku janji dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“SKK itu juga perlu mengambil kira tempoh masa iaitu 100 hari, satu tahun, dua tahun, tiga tahun, empat tahun dan lima tahun selain perancangan baharu yang mahu dilaksanakan, mengikut portfolio masing-masing,” katanya.

Ujarnya, selain itu kerajaan negeri juga akan memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Kad Laporan (Report Card) kepada semua Ahli MMKN yang mana prestasi mereka akan dinilai berdasarkan KPI dan Kad Laporan tersebut.

“Ahli MMKN diminta membentangkan pencapaian semasa SKK, KPI dan Kad Laporan bagi portfolio masing-masing pada minggu pertama setiap bulan.

“Kerajaan negeri juga telah menubuhkan satu jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Pemantauan Manifesto yang akan bertanggungjawab memantau pelaksanaan aku janji dan inti pati manifesto oleh semua Ahli MMKN,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1093
Kongsi :
Previous post Pengunjung muzium di Melaka meningkat 80 peratus
Next post Melaka bakal jadi Hab Pertanian Selatan – MAFI
Ubah saiz-+=