Melaka bakal jadi Hab Pertanian Selatan – MAFI

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BEMBAN 10 Dis – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bercadang menjadikan Melaka sebagai Hab pertanian selatan dengan menubuhkan Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

Timbalan Menteri MAFI 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, cadangan itu antara tujuan bagi mengurangkan kebergantungan Melaka dari membeli sayuran dan hasil laut dari negeri lain.

Katanya, sekiranya cadangan itu direalisasikan, penubuhan IADA itu dijangka mampu mengawal kenaikan harga barangan mentah termasuk sayur-sayuran di negeri ini.

“Melaka mempunyai pengeluaran sayuran dan hasil laut yang agak rendah, jadi terpaksa banyak bergantung kepada pembelian daripada negeri-negeri lain. Bukan sahaja sayur-sayuran, bahkan buah-buahan serta ikan.

“Di Melaka, kita hanya berkeupayaan mengeluarkan lebih kurang 22 peratus sahaja ikan dan kita terpaksa import ikan daripada negeri-negeri lain yang bekalkan ikan itu, begitu juga dengan hasil buah-buahan.

“Cadangan penubuhan IADA kini telah di peringkat perbincangan bersama kerajaan negeri dan diharapkan dapat dilaksanakan secepat mungkin bagi memberi manfaat di setiap peringkat termasuk penternak, petani mahupun nelayan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan 250 bakul makanan kepada keluarga tani yang terjejas akibat bencana banjir di Program MAFI Prihatin Jabatan Pertanian Negeri Melaka di Kampung Tehel, Bemban, hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pengarah Pertanian(Pembangunan Industri dan Pengembangan), Datuk Eliyas Saad dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ahmad Hamzah berkata konsep pertanian berkelompok itu juga berbeza dengan penubuhan IADA di negeri lain yang hanya menfokuskan aktiviti sawah padi.

“Di Melaka, kita akan menukar sedikit konsep ini (IADA) kepada semua tanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan lain-lain.

“Bidang perikanan dan penternakan juga akan dilaksanakan di bawah IADA supaya dapat dirancakkan lagi sekaligus Melaka menjadi pusat perpaduan industri asas tani tumpuan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1358
Kongsi :
Previous post Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama DUN Melaka Ke-15 pada 27-30 Dis ini
Next post Mufti seru umat Islam pertahan ASWJ, tolak fahaman sesat
Ubah saiz-+=