
WRUR AYER KEROH: DEWAN TERBUKA RANCAKKAN AKTIVITI KOMUNITI SUNGAI PUTAT
AYER KEROH 30 April – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengadakan lawatan kerja bagi meninjau perkembangan pembinaan Dewan Terbuka Taman Ara Permai yang disenaraikan di bawah Projek Kampung Angkat MADANI (KAM) Kampung Sungai Putat.
Lawatan tersebut berlangsung bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh yang memberi tumpuan kepada usaha memperkasa kemudahan komuniti setempat.
Dalam lawatan itu, beliau turut mendengar taklimat yang disampaikan oleh Pengarah Pembangunan Negeri Melaka di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Mohd Shahrul Shari berhubung status projek berkenaan.
Pembinaan dewan terbuka itu melibatkan kos sebanyak RM380,500 dan mampu memuatkan kira-kira 200 tetamu pada satu-satu masa.

Projek berkenaan dijangka siap pada Jun tahun ini sekali gus bakal menyediakan ruang serbaguna untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan penduduk sekitar.
Inisiatif pembinaan dewan tersebut dilihat mampu memperkukuh kemudahan awam di kawasan berkenaan selain menjadi lokasi tumpuan bagi penganjuran program komuniti dan aktiviti setempat.
Terdahulu, lawatan itu turut disertai Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Turut bersama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee; Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


