
WRUR AYER KEROH: KARYA WARGA SMK MUNSHI ABDULLAH BANGKITKAN SEMANGAT KEPAHLAWANAN
AYER KEROH 30 April – Mural inspirasi bertemakan ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ sentuhan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah menarik perhatian Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Terdahulu Ketua Menteri turut meluangkan masa melihat sendiri hasil lakaran pelajar yang melambangkan penghayatan nilai sejarah serta jati diri, seterusnya merasmikan mural berkenaan pada Majlis Perasmian Mural Inspirasi ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh di SMK Munshi Abdullah, di sini, hari ini.
Dalam ucapan ringkasnya, Ketua Menteri berkata penghasilan mural itu membangkitkan semangat kepahlawanan tokoh legenda Melayu, Hang Tuah dan Hang Jebat dalam kalangan generasi muda.
Beliau turut berpesan kepada warga SMK Munshi Abdullah agar sentiasa menelusuri sejarah dan mengambil iktibar daripada perjuangan serta prinsip kedua-dua tokoh tersebut dalam membentuk sahsiah diri yang berani selain berintegriti.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin serta Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam.
Turut hadir Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee; Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Khairul Azreem Mamat serta Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


