
DEKATI HAIWAN EKSOTIK DI MENARA TAMING SARI SABTU INI
AYER KEROH 30 April – Pengunjung singgah ke Menara Taming Sari berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat pelbagai jenis haiwan eksotik, reptilia dan burung menerusi tarikan baharu ditawarkan iaitu ‘Petting Zoo & Animal Show’.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hassan berkata, tarikan itu dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu haiwan ladang (farm animal), burung (bird side), mamalia (mammals corner) serta haiwan eksotik (exotic creatures).
Katanya, bagi kategori haiwan ladang, pengunjung boleh melihat lima ekor arnab, dua ekor ayam import dan dua ekor itik import, sementara itu kategori burung pula menampilkan tiga ekor burung kakak tua.
“Kategori mamalia pula, melibatkan haiwan seperti sigung, meerkat, anjing prairie, hamster Syria, hamster putih musim sejuk, gerbil ekor gemuk, landak, guinea pig termasuk baka American Cavy dan California.
“Selain itu, tarikan utama adalah haiwan eksotik seperti ular sawa Burma jinak, ular sawa bola, ular jagung, iguana, tupai Finlayson, cicak berjanggut, skink lidah biru, cicak Sudan-plated, tokek leopard serta katak Pacman albino dan katak lembu Afrika,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Nur Azan berkata, tarikan itu dijadualkan pada 2 Mei (Sabtu) bermula jam 6 petang hingga 10 malam adalah sebagai aktiviti tambahan di Menara Taming Sari bagi memeriahkan lagi suasana cuti hujung minggu selain memberikan pengalaman baharu buat pengunjung khusus kanak-kanak.
“Jika ada pengunjung baru selesai menaiki Menara Taming Sari dan mahu melihat dengan lebih dekat haiwan yang disediakan mereka ini layak menerima diskaun 50 peratus bagi tiket masuk, cuma bayar RM2.50 berbanding harga asal iaitu RM5.
“Program tersebut bukan sahaja memberi hiburan, malah berunsur pendidikan serta sesuai untuk aktiviti keluarga sepanjang musim cuti umum. Ia juga selari dengan usaha menarik lebih ramai pelancong ke Melaka, khususnya ke Menara Taming Sari sebagai antara destinasi ikonik negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


