Sorting by

×

KOMITMEN BERTERUSAN MELAKA TANGANI RISIKO BANJIR

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 30 April – Komitmen Kerajaan Negeri untuk menangani risiko banjir diterjemahkan menerusi pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dan meningkatkan kekerapan kerja-kerja penyelenggaraan sungai serta saliran seluruh Melaka.

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, meskipun masih belum siap sepenuhnya projek RTB kini yang dalam fasa pembangunan menunjukkan kemajuan positif.

“Kesungguhan atau momentum kita dalam menangani banjir tidak pernah berhenti, susulan kekerapan hujan beberapa hari lalu, saya difahamkan Jabatan Pengairan dan Saluran (JPS) sudah turun ke lapangan bagi melakukan pemantauan bagi memastikan aliran sungai serta saliran berkaitan lancar.

“Tumpuan diberikan kepada lokasi yang kerap dinaiki air setiap kali berlaku hujan lebat berterusan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kempen Kebersihan Dan Baik Pulih Rumah Bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, di Kampung Sungai Putat, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron serta Setiausaha MPHTJ Mohd Faizal Mohd Zin.

Menurut Zulkiflee, selain permasalahan banjir semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Melaka diarahkan supaya sentiasa memberikan perhatian kepada risiko kejadian pokok tumbang dalam kawasan pentadbiran masing-masing.

“Unit di PBT terlibat akan terus bertindak apabila menerima aduan daripada orang ramai, pengguna jalan raya atau Ahli Majlis. Setiap aduan akan diambil tindakan segera, sama ada melalui kerja mencantas atau menebang bergantung kepada situasi bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin, sekali gus mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

752
Kongsi :
Previous post WRUR AYER MOLEK LAKSANA 100 PROGRAM, FOKUS GOLONGAN BELIA
Next post DEKATI HAIWAN EKSOTIK DI MENARA TAMING SARI SABTU INI