Mufti seru umat Islam pertahan ASWJ, tolak fahaman sesat

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

TANJUNG BIDARA 10 Dis – Umat Islam di negeri ini diingatkan supaya mempertahankan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan menolak fahaman difatwakan sesat.

Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil menegaskan, umat Islam yang berhadapan dengan pelbagai cabaran berkaitan akidah sekarang, harus bersama-sama mempertahankan fahaman ASWJ kerana hanya ia yang mampu menyelamatkan mereka daripada kesesatan.

Sehubungan itu beliau meminta umat Islam menolak fahaman yang difatwakan sesat seperti Syiah, Muktazilah, Khawarij, pluralisme dan Wahabiah.

“Marilah kita bersama-sama mempertahankan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menolak fahaman yang difatwakan sesat di negeri ini dan di peringkat kebangsaan,” katanya ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, di sini hari ini.

Ia adalah sebahagian daripada program Forum Bicara Mufti: Akidah Menyatukan Ummah anjuran Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di masjid berkenaan.

Selain berkhutbah, Abdul Halim turut menziarahi beberapa bekas imam, bilal dan noja masjid berkenaan yang pernah
dilantik JAIM untuk melaksanakan tugas masing-masing beberapa tahun lalu.

Abdul Halim turut menyampaikan sumbangan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) kepada asnaf dan menghadiri forum berkenaan selepas solat Maghrib.

Dalam pada itu, beliau berkata, umat Islam harus berwaspada terhadap golongan yang mempertikaikan ibadah yang sudah menjadi kelaziman dalam anggota komuniti.

Katanya, terdapat golongan yang menuduh kononnya ibadah seperti doa qunut ketika solat Subuh, talqin yang dibaca pada pengebumian jenazah, kenduri tahlil bagi mendoakan orang sudah meninggal dunia dan membaca surah Yassin beramai-ramai di masjid pada malam Jumaat sebagai bidaah.

Selain itu, beliau mengingatkan umat Islam mengenai golongan tertentu yang menghina sahabat Rasulullah SAW dan ulama hanya kerana tidak setuju dengan pendapat mereka.

“Jika kita berselisih pendapat, carilah jalan penyelesaian dengan mencari titik persamaan, apatah lagi jika perbezaan
pendapat itu hanyalah berkaitan perkara furuq atau cabang,” katanya.

Pada 23 September lalu persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan usul pindaan ke atas Seksyen 2 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002 untuk memperkukuh maksud tafsiran ASWJ bagi menjadi pegangan umat Islam di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dilaporkan berkata, kerajaan negeri bersetuju supaya Warta Fatwa Negeri Melaka MPU 5, Tahun 1997 berkaitan kewajipan berpegang kepada fahaman ASWJ disemak dan ditambah baik bagi mengekang penyebaran fahaman yang menjejaskan akidah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1746
Kongsi :
Previous post Melaka bakal jadi Hab Pertanian Selatan – MAFI
Next post Polis siasat kes buli didakwa berlaku di Kuala Kangsar
Ubah saiz-+=